Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berucap semasa hadir ke Majlis Amanat Tahun Baharu Menteri Kanan Pertahanan di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 17 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Malaysia sudah sedia untuk keluar daripada fasa pandemik covid-19 dan beralih ke fasa endemik, kata Pengerusi Menteri Kuartet Covid- 19, Datuk Seri Hishammuddin  Hussein.

Meskipun begitu, kerajaan tidak akan mengambil langkah semberono biarpun penularan pandemik Covid-19 sudah tidak berada pada fasa bahaya.

“Mesyuarat Kuartet Covid-19 yang akan datang, saya akan menerima taklimat daripada KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia), Kementerian Luar, dan pihak lain untuk kita bentangkan kepada jawatankuasa khas yang dipengerusikan perdana menteri bagi buat keputusan dan mengumumkan bila tarikh sebenar untuk kita beralih ke fasa andemik.

“Yang penting peralihan kita ini bukan dilakukan dengan semberono dan kita telah menetapkan tujuh asas yang perlu dipatuhi oleh orang ramai,” katanya dalam sidang media selepas memberikan amanat tahun baharu Menteri Pertahanan di Wisma Perwira, hari ini.

Jumaat lalu, Hishammuddin berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan sementara langkah mengisytiharkan fasa peralihan endemik berikutan peningkatan penularan kes varian Omicron Covid-19 di negara ini.

Menteri Kanan Pertahanan itu menambah, berdasarkan perancangan asal, pengumuman peralihan itu sepatutnya dibuat pada minggu pertama bulan ini.

Namun ia terpaksa ditangguhkan berikutan peningkatan jangkitan varian Omicron yang dibawa oleh individu yang kembali dari luar negara, khususnya yang menunaikan umrah di Arab Saudi serta bencana banjir baru-baru ini.

Hishammuddin berkata, beliau juga belum menerima apa-apa laporan daripada KKM dan Kementerian Luar mengenai kesan penularan varian Omicron di negara ini.

“Dari segi fasa peralihan daripada pandemik ke endemik ianya hanya penangguhan sementara, bukan lama, mungkin dua atau tiga minggu ini sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette