Tertuduh dibawa keluar dari mahkamah oleh anggota polis selepas selesai dibacakan pertuduhan mencuri wang masjid di Mahkamah Tinggi Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 17 JANUARI 2022.

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret Selayang ke atas seorang remaja yang dipenjara 10 hari dan didenda RM4,000 kerana cuba mencuri tabung Masjid Al-Islahiah pada 13 Januari lalu.

Keputusan itu dibacakan Hakim Abdul Halim Aman selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan susulan permohonan semakan kehakiman jenayah terhadap tertuduh, Daniel Iskandar di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 511.

Hakim juga memerintahkan Daniel untuk menjalani Khidmat Masyarakat di bawah program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tempoh agregat 120 jam selama tempoh enam bulan.

“Saya arahkan khidmat masyarakat untuk tertuduh ini akan ditumpukan kepada di masjid-masjid sahaja,” kata Abdul Halim ketika membacakan keputusan semakan kehakiman jenayah di Mahkamah Tinggi Shah Alam, di sini, hari ini.

Selain itu, mahkamah juga mengarahkan tertuduh yang dikategorikan sebagai pesalah muda untuk melaporkan diri kepada pegawai kebajikan masyarakat dalam tempoh tujuh hari dari tarikh hari ini.

“Pesalah muda wajib hadir mengikut jadual yang telah ditetapkan. Pesalah muda juga dikehendaki mematuhi setiap aktiviti atau program yang telah ditetapkan dan lain-lain arahan oleh pegawai kebajikan masyarakat.

“Khidmat masyarakat ini pula dikhususkan di masjid-masjid sahaja dan perintah ini dikeluarkan di bawah Seksyen 293(1)(e) Kanun Acara Jenayah (Akta 593).

“Sekiranya gagal melaksanakan perintah khidmat masyarakat dalam tempoh yang telah ditetapkan atau melanggari perintah, pesalah muda boleh dihadapkan semula ke mahkamah dan boleh dihukum mengikut peruntukan asal,” katanya.

Peguam, Muhamammad Rafique

Terdahulu Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Daniel, memohon mahkamah menjatuhkan hukuman bon seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 173A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) terhadap anak guamnya atas alasan ini ketika kejadian dia berumur 18 tahun empat bulan, merupakan kesalahan pertama dan bagi melindungi masa depannya.

“Anak guam saya tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau dan pohon tertuduh diberikan hukuman di bawah Seksyen 173A CPC kerana dia masih mempunyai depan yang cerah.

“Walaupun hukuman penjara 10 hari akan berakhir hari ini, namun rekod penjara akan menyukarkan dia mendapatkan pekerjaan pada masa hadapan,” katanya.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya, Norhana Sahat berkata, tiada keperluan semakan kehakiman jenayah kerana tiada kesilapan berlaku dilakukan di peringkat Mahkamah Majistret, pihak polis dan pihak masjid.

Jelasnya, setelah tertuduh dijatuhi hukuman pada 13 Disember lalu, tertuduh bukan sahaja menjalani hukuman penjara 10 hari yang akan tamat hari ini, bahkan dia telah membayar denda pada Jumaat lepas.

“Sepatutnya semakan kehakiman itu tidak dibuat, tertuduh perlu mengemukakan rayuan, sehingga ke hari ini tiada sebarang rayuan dikemukakan.

“Jika semakan kehakiman ini dilakukan, ini bermakna tertuduh dihukum dua kali,” katanya.

Daniel diwakili barisan empat peguam termasuk Muhammad Rafique iaitu Fahmi Abd Moin, Azma Abdullah dan Ilyani Khuszairy

Manakala Masjid Al-Islahiah, Kuang pula diwakili peguam, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafie.

Pada 13 Januari lalu, Majistret Selayang, Nik Mohd. Fadli Nik Azlan menjatuhkan hukuman penjara 10 hari dan denda RM4,000 selepas Daniel mengaku bersalah atas pertuduhan cuba mencuri tabung masjid.

Mengikut pertuduhan, Daniel didakwa cuba melakukan curi tabung kepunyaan Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah.

Kesalahan itu dilakukan Masjid Al Islahiah di Kilometer 28 Kuang, Rawang di sini pukul 11.58 malam pada 8 Januari lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan di baca bersama Seksyen 511 yang mana hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.

Pada 10 Januari lalu, tular sebuah video di laman sosial yang memaparkan seorang remaja yang lengkap berpakaian dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di sebuah masjid.

Remaja berkenaan turut dilumur dengan kapur barus oleh sekumpulan pengurusan masjid sambil diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.