Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman menjalankan pemeriksaan motosikal di laluan Selayang semasa mengadakan dalam Ops Utama P-Hailing Lampu Merah di hadapan dengan Pasar Selayang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2022.

SELAYANG – Gara-gara mengubah suai motosikal milik bapa dan menunggang tanpa lesen, seorang remaja lelaki merupakan antara individu yang dikenakan saman dalam Operasi Utama P-Hailing Lampu Merah di susur Kilometer 14, Jalan Selayang – Kuala Lumpur di sini, hari ini.

Remaja berusia 16 tahun dari Prima Selayang itu menunggang motosikal jenis Yamaha 135 LC yang telah diubah suai pada bahagian ekzos dan nombor pendaftaran selain tidak mempunyai lesen.

Manakala, seorang lagi rakannya yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dikenakan empat saman membabitkan pengubahsuaian komponen, tiada cukai jalan dan insurans serta lesen.

Kedua-dua remaja yang masih bersekolah itu memberi alasan menggunakan motosikal milik ibu dan bapa masing-masing, namun telah bertindak mengubah suai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising.

Menerusi operasi sama, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman turut menyita sebuah motosikal milik lelaki etnik Rohingya yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa bagi Pelarian (UNHCR).

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Supt. Dr. Bakri Zainal Abidin memeriksa penunggang motosikal etnik Rohingya yang didapati melakukan pelbagai pengubahsuaian semasa mengadakan Ops Utama P-Hailing Lampu Merah di hadapan dengan Pasar Selayang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2022.

Lelaki berusia 40-an yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 itu mengakui membeli semua komponen tambahan secara atas talian sebelum dipasang pada motosikalnya.

Lelaki terbabit yang bekerja di One Selayang di sini, turut memberitahu motosikal berkenaan dibeli oleh majikan pada harga sekitar RM10,000 dan perlu membayarnya semula.

Selepas diberikan saman, lelaki etnik Rohingya yang sudah menetap lebih 10 tahun di negara ini, turut dilihat merayu kepada anggota JSPT supaya tidak menyita motosikal miliknya dengan memberikan pelbagai alasan.

Selain itu, seorang lelaki berusia 40 tahun yang juga merupakan orang kurang upaya (OKU) jenis fizikal turut ditahan dalam operasi sama kerana disyaki memiliki satu tiub dadah jenis methamphetamine di dalam poket jaketnya.

Anggota JSPT Bukit Aman memeriksa seorang penunggang motosikal yang memiliki barang terlarang di laluan Selayang semasa mengadakan dalam Ops Utama P-Hailing Lampu Merah di hadapan dengan Pasar Selayang, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2022.

Pemeriksaan lanjut oleh anggota JSPT menemui peralatan untuk menghisap dadah di dalam beg silang milik lelaki OKU terbabit yang bekerja sebagai penghantar barangan runcit.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan JSPT Bukit Aman, Superintendan Dr. Bakri Zainal Abidin, lebih 2,800 kereta dan motosikal telah diperiksa dalam operasi yang dijalankan di dua lokasi berbeza termasuk di Jalan Bypass Selayang-Kepong.

Bakri berkata, dalam operasi yang dijalankan selama tiga jam bermula pada pukul 10 pagi itu, sebanyak 157 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Supt. Dr. Bakri Zainal Abidin. Foto AFFAN FAUZI, 17 JANUARI 2022.

“Kita terima banyak aduan dan rungutan daripada masyarakat setempat tentang penunggang motosikal terutamanya penunggang p-hailing yang kerap melakukan kesalahan melanggar lampu isyarat.

“Justeru, operasi yang dijalankan hari ini adalah bertujuan memberi kesedaran terhadap pengguna jalan raya khususnya penunggang p-hailing,” katanya ketika ditemui pemberita selepas tamat operasi hari ini.

Tambah Bakri, seramai tujuh pegawai dan 25 anggota dari JSPT Bukit Aman bersama JSPT Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak terlibat dalam operasi itu.

Katanya lagi, selain mengeluarkan saman atas pelbagai jenis kesalahan, pihaknya turut melakukan dua tangkapan memiliki dadah selain menyita motosikal yang didapati tidak mengikut spesifikasi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast