Ahmad Zahid Hamidi Mahathir Mohamad lies drop court case corruption
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) perlu mengambil berat pendedahan seorang jemaah umrah positif Covid-19 menerima layanan buruk semasa menjalani kuarantin di sebuah hotel.

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jika benar seperti didakwa, tindakan segera perlu diambil untuk memperbetulkan keadaan.

“Apa dibimbangi sebenarnya ramai jemaah umrah yang menjalani kuarantin turut berdepan nasib serupa dan itu tidak sepatutnya berlaku kerana amat tidak berperikemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid merujuk kepada dakwaan jemaah umrah yang mendakwa perlu membayar kos bilik hotel sebanyak RM500 sehari dan tidak menerima sebarang rawatan sepanjang menjalani kuarantin di hotel berkenaan.

Jemaah umrah warga emas tersebut turut mendakwa tidak dibekalkan dengan sebarang ubat-ubatan walaupun menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Dia seterusnya mendakwa tidak dapat memasuki Pusat Rawatan dan Kuaratin Covid-19 (PKRC) di MAEPS, Serdang atau Hospital Sungai Buloh kerana telah penuh.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid mahu kerajaan memperbanyakkan lagi PKRC supaya jemaah umrah kita dapat bantuan secukupnya selepas pulang menunaikan ibadah kerana tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan.

“Bagaimanapun kita agak keliru dalam hal kos kuarantin jemaah umrah kerana seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) pada 4 Januari lalu pernah mengumumkan sebaliknya.

“Menteri ketika itu dilaporkan memaklumkan kerajaan akan menanggung kos kuarantin termasuk makan, minum dan pengangkutan dari lapangan terbang bagi jemaah umrah.

“Ternyata kisah dialami jemaah umrah itu seperti yang dilaporkan oleh pihak media sangat bercanggah berbanding apa yang diumumkan oleh menteri berkenaan sebelum ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette