Pulau Pinang menyaksikan perarakan pedati emas dan perak sempena Thaipusam esok.

GEORGE TOWN – Walaupun sambutan Thaipusam berlangsung secara sederhana di Pulau Pinang berikutan pandemik Covid-19, namun perarakan pedati perak berusia 135 tahun dan pedati emas yang bermula sejak lima tahun lepas tetap menjadi tarikan utama.

Hujan awal pagi tadi tidak menghalang penganut Hindu di negeri ini untuk turut sama menyaksikan perarakan dua pedati tersebut, yang masing-masing bermula dari Lebuh Queen dan Lebuh Penang.

Cuaca hujan tidak menghalang penganut Hindu berhimpun bagi menyaksikan perarakan pedati emas di Pulau Pinang.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati hampir ribuan penganut berkumpul bermula jam 5 pagi bagi menyaksikan perarakan pedati emas yang bermula jam 6 pagi dan disusuli dengan pedati perak sejam kemudian.

Pedati perak membawa arca dewa Murugan, manakala pedati emas pula membawa vel atau lembing sakti yang digunakan Dewa Murugan untuk menentang kejahatan.

Perarakan kali ini beza berbanding sebelum pandemik yang menyaksikan lebih ratusan ribu termasuk pelancong asing menyertai perarakan.

Perarakan pedati perak berusia 135 tahun itu membabitkan perjalanan sejauh sembilan kilometer.

Selain itu, pergerakan pedati pada kali ini hanya mengambil masa selama lima hingga enam jam sahaja untuk sampai ke kuil di Jalan Kebun Bunga di sini, berbanding perarakan sebelum ini yang mengambil masa lebih 20 jam.

Pedati emas berhenti di lima lokasi manakala pedati perak pula berhenti di tujuh lokasi terpilih sepanjang perjalanan membabitkan sembilan kilometer ke kuil berkenaan untuk pertukaran lembu.

Polis mengadakan kawalan keselamatan sepanjang perarakan serta laluan menuju ke kuil bagi memastikan penganut patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Perarakan pedati emas bermula sejak lima tahun lalu di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P. Ramasamy berkata, pematuhan SOP oleh penganut di tahap memuaskan namun pihaknya berpuas hati atas kerjasama baik yang diberikan semua pihak dalam memastikan perarakan pedati bagi sambutan Thaipusam di negeri berjalan dengan lancar.

Ramasamy.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Negeri Pulau Pinang (PHEB) berkata, perarakan kali ini laju susulan tiada upacara pecah kelapa dan lain-lain berbanding tahun-tahun sebelum pandemik.

“Bagi Pulau Pinang apa yang boleh saya jelaskan kedua-dua kuil terlibat berjaya meraikan acara keagamaan dengan SOP yang ketat.

“Kita harap semua urusan upacara keagamaan yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini berjalan lancar tanpa sebarang pelanggaran SOP demi kepentingan,” katanya kepada MalaysiaGazette.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan hanya upacara ‘paal koodam’ atau menjunjung belanga mengandungi susu dibenarkan pada sambutan Thaipusam kali ini.

Antara upacara yang dilarang termasuk ‘kavadi’, mencukur rambut, memecah kelapa, gerai jualan serta pengedaran makanan percuma. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast