Zulkarnain (kanan) bertanyakan khabar kepada seorang murid selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 150 murid dan pelajar di Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Yayasan Bank Rakyat (YBR) memperuntuk kira-kira RM2.5 juta untuk program bantuan persekolahan kepada murid dan pelajar kurang berkemampuan (B40) di seluruh negara.

Program bantuan itu akan memberi manfaat sekurang-kurangnya kepada 25,000 penerima, yang akan memulakan sesi persekolahan baharu 2022 pada Mac ini.

Menurut Pengerusi YBR, Datuk Zulkarnain Omardin, bantuan itu adalah inisiatif yayasan bagi meringankan tanggungan ibu bapa khususnya golongan B40 dalam membuat persiapan anak-anak kembali ke sekolah.

“Insentif wang tunai RM100 seorang itu diharap dapat digunakan untuk membeli kelengkapan sekolah.

“Kita faham ramai hadapi masalah kewangan disebabkan banjir baru-baru ini dan penularan wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 150 murid dan pelajar di Kuala Terengganu, hari ini.

Kata Zulkarnain, YBR menerima kira-kira 4,000 permohonan tambahan berhubung bantuan persekolahan itu dan bercadang menambah peruntukan sekiranya diluluskan Ahli Lembaga Pengarah. – MalaysiaGazette