Suspek ditangkap selepas cubaan merompak kedai emas di pasar raya Taman Mutiara Rini, Skudai, gagal.

ISKANDAR PUTERI – Cubaan seorang lelaki merompak sebuah kedai emas di sebuah pasar raya di Taman Mutiara Rini, Skudai di sini tidak berhasil, sebaliknya dia dicekup polis dalam kejadian 10 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan cubaan samun kedai emas di aras bawah pasar raya terbabit.

Suspek, 33,  yang tidak bersenjata itu bertindak membakar mercun di ruang tengah pasar raya sebelum meluru masuk ke kedai emas melalui pintu depan kedai ketika pintu “shutter” ditutup separuh.

“Suspek telah bertindak mencederakan pengurus wanita di kedai itu dengan menumbuk mukanya dalam cubaan merompak kedai tersebut.

“Setelah apa yang ingin dilakukan itu tidak berhasil, suspek melarikan diri dengan tangan kosong sebelum diberkas polis di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Dzulkhairi berkata, dengan penahanan suspek itu, polis telah berjaya merampas beberapa barang kes daripada suspek iaitu sekotak dan dua batang mercun, topeng muka, pemetik api serta sepasang sarung tangan.

Semakan rekod mendapati suspek mempunyai tujuh rekod lampau iaitu enam kes samun dan satu kes curi kenderaan.

Katanya lagi, suspek akan dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan.- MalaysiaGazette