Foto Facebook Hyuri Henrique.

KUALA LUMPUR – Pemain dari Brazil, Hyuri Henrique dilaporkan menjadi calon utama bagi mengisi kuota pemain import kelima Selangor, sekali gus bakal membantu pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim ini.

Berita itu dikongsikan oleh pemerhati sukan yang juga wartawan, Zulhelmi Zainal Azam.
Hyuri bakal diperkenalkan kepada peminat Selangor pada majlis pengenalan pemain pasukan itu pada Februari ini.
Dia yang berusia 30 tahun beraksi di bahagian serangan telah memulakan karier bersama Audax Rio dalam saingan bola sepak Brazil,
Sehingga kini Hyuri telah beraksi bersama 11 pasukan baik dari negara kelahirannya selain Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan China.

Rekod Hyuri sepanjang beraksi bersama 11 kelab yang diwakilinya menunjukkan dia tidak pernah menjaringkan lebih daripada 20 gol, yang mana jumlah gol tertinggi yang diraih ialah ketika beraksi bersama kelab China, Guizhou Renhe iaitu 16 jaringan.

Sekiranya Selangor menandatangani Hyuri, besar kemungkinan dia akan digandingkan dengan seorang lagi pemain import yang sudah ditandangani, Caion di bahagian serangan dan akan dibantu oleh seorang lagi pemain tempatan.

Tugas berat menanti Caion dan Hyuri kerana mereka bakal menggantikan Ifedayo Olusegun yang telah menjadi penjaring terbanyak pasukan sejak musim 2019.

Pada musim 2020 dan 2021, Ifedayo turut memenangi anugerah Kasut Emas bagi saingan Liga Super.

Sebelumnya, skuad bimbingan Michael Feichtenbeiner telah mendapatkan khidmat dua pemain skuad kebangsaan Jordan iaitu Yazan Al-Arab dan Baha Abdel-Rahman bagi memperkuatkan bahagian pertahanan dan tengah.

Musim 2021 menjadi satu lagi musim yang mengecewakan bagi Selangor di mana kelab menamatkan saingan Liga Super di tangga kelima dan hanya mampu mara sehingga ke peringkat suku akhir dalam saingan Piala Malaysia. – MalaysiaGazette