Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz melawat Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Pangkalan Bekalan Tok Bali (TBSB) sempena Jelajah Bajet 2022 di Kelantan.

 

KUALA LUMPUR – Potensi kawasan Tok Bali sebagai pusat pertumbuhan baharu di Kelantan akan dipertingkatkan lagi susulan pengumuman insentif cukai khas oleh
Kementerian Kewangan kepada negeri itu.

Menerusi insentif cukai khas ini, para pelabur akan dapat menikmati pengecualian cukai pendapatan sebanyak 100% selama 15 tahun dan cukai pendapatan pada kadar istimewa 17% untuk lima tahun berikutnya.

Sebagai insentif tambahan, individu pemastautin bukan warganegara yang memegang jawatan pengurusan kanan bagi syarikat yang diluluskan insentif hanya akan dikenakan kadar cukai rata sebanyak 15% untuk meningkatkan daya saing Kelantan sebagai destinasi pelaburan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Datuk Baidzawi Che Mat berkata, Tok Bali disasarkan menjadi pusat pertumbuhan baharu di Kelantan dan menerusi insentif cukai khas serta projek-projek berimpak tinggi di kawasan ini, antaranya Taman Industri Tok Bali (TBIP), Taman Perikanan Bersepadu Tok Bali (TBIFP) dan infrastruktur luaran bagi Pelabuhan Tok Bali yang sedang dilaksanakan oleh ECERDC dapat menyumbang ke arah mencapai sasaran pelaburan sebanyak RM2.3 bilion.

Pelaburan ini dijangka dapat menjana 4,200 peluang pekerjaan baharu dan 270 peluang keusahawanan untuk masyarakat tempatan.

Pembangunan kawasan Tok Bali akan memberi tumpuan terhadap lima sektor utama iaitu pembuatan, perikanan, minyak dan gas, logistik dan perkhidmatan serta ekopelancongan bagi
mempelbagaikan ekonomi di kawasan ini dan meningkatkan daya saing Tok Bali sebagai destinasi pelaburan.

Langkah ini seterusnya akan mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta membuka peluang-peluang keusahawanan kepada masyarakat setempat.

TBIP adalah sebuah taman perindustrian campuran yang memberi tumpuan terhadap aktiviti nilai tambah (hiliran) yang melibatkan pengeluaran produk berasaskan minyak sawit dan minyak kelapa, bahan pembinaan berasaskan kayu, pembuatan logam dan pembuatan am.

Manakala, pelaksanaan Projek Perintis – Transformasi Perikanan di TBIFP pula akan melibatkan seluruh rantaian nilai perikanan termasuk membangunkan keperluan modal insan terutamanya yang melibatkan penyertaan warga tempatan dalam aktiviti perikanan laut dalam.

Pembangunan infrastruktur asas untuk aktiviti hiliran dalam Fasa 1A telah siap sepenuhnya dan kini mula menarik pelaburan ke kawasan ini. ECERDC kini sedang aktif membangunkan infrastruktur asas untuk Fasa 1B yang dijangka siap pada bulan November 2022.

Antara projek lain yang sedang diusahakan ialah pembangunan Pangkalan Bekalan Tok Bali sebagai sebuah pelabuhan komersial dan pembangunan infrastruktur luaran di kawasan sekitar serta menaik taraf jalan Tok Bali-Pasir Puteh. – MalaysiaGazette