Foto Instagram Dr Mohd. Asri.

KANGAR – Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menggesa Kementerian Kesihatan memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.

Gesaan itu dibuat selepas bapanya mengalami gejala muntah serta menjadi sangat lemah selepas menerima dos ketiga vaksin Covid-19 dan kini sudah lebih seminggu di hospital.

Menerusi hantaran di laman Instagram semalam, beliau berkata, bapanya diserang  strok sekali lagi di bahagian yang sensitif di kepala dan puncanya belum jelas.

Mohd. Asri turut mempersoalkan apakah ada kaitan dengan dos penggalak atau sebaliknya.
Beliau yang tidak pasti berlaku serangan strok itu menyatakan hanya pakar yang dapat menjelaskan.

“Kebetulan minggu sebelum itu, ada anak seorang sahabat meninggal setelah jatuh sakit mengejut selepas dos ketiga. Beliau (anak sahabat) sebelum itu sihat. Saya tidak pasti sebab kematian yang sebenar. Keluarga beliau, orang kampung tidak menuntut siasatan terperinci.

“Mereka hanya kata “lepas vaksin nombor 3, tak pasai-pasai dia sakit, lepas tu meninggal”. Mungkin juga ada punca lain.

Mohd. Asri menambah, ramai orang telah berkongsi situasi seperti itu di media sosial.

“Apapun, pihak KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) wajar memandang serius dan mengkaji kesan sampingan dos penggalak kepada mereka yang mungkin tidak sesuai.

“Ramai yang menyebut hal ini di sosial media. KKM kena ambil perincian setiap kes. Semoga Allah SWT merahmati kita semua,” katanya. – MalaysiaGazette