PU Syed Bakri.

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd. Bakri  atau lebih dikenali sebagai PU Syed mempersoalkan agensi penapisan filem yang tidak membendung dan menegur aktres, Jasmine Suraya Chin berhubung isu adegan ranjang yang dilakonkan dalam drama bersiri Villa Kristal.

Menerusi posting di Instagram, PU Syed turut mempersoal peranan agensi dan jabatan agama yang terlibat dalam penapisan drama dan filem di negara ini.

“Di mana peranan agensi-agensi yang melibatkan penapisan drama dan filem di Malaysia. Apakah fungsi jabatan agama dalam membendung budaya melanggar syariat ini! Atau ianya gagal dihidu dari awal,” tulisnya.

PU Syed menambah, walaupun drama tersebut tidak ditayangkan di televisyen namun ia mudah diakses dan menjadi salah satu punca drama-drama mengarut akan terus direka dan dilakonkan.

“Sutradara rakus mencarik syariat Allah. Para artis sanggup menerima watak sebegini walau apa agama yang anda anuti sekali pun.

“Walaupun cerita ini tidak ditayangkan di televisyen arus perdana namun ianya mudah diakses bahkan menjadi salah satu punca drama-drama mengarut seumpama ini akan terus menerus direka dan dilakonkan,” katanya lagi.

Jasmine Suraya

Selain itu, PU berkenaan turut memberi teguran terhadap Jasmine dan mahu pelakon itu sedar dia sedang berada dalam negara Islam walaupun dia seorang beragama Kristian.

“Artis ini walaupun dia seorang Kristian, dia perlu ingat, dia berada dalam negara Islam manakala pengarah dan seluruh kru juga perlu tahu batas-batas dan norma sosial yang lebih bertanggungjawab kepada anak bangsa,” katanya.

Di akhir hantarannya di Instagram, PU Syed menitipkan harapan kepada pihak terlibat untuk menggarap cerita-cerita yang lebih memberikan nilai-nilai positif dan bukan kepada sensasi serta kedurjanaan. – MalaysiaGazette