Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (dua dari kanan) bersama Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique (kiri) dan Pengerusi Kuil Sri Mahamariamman Dhevasthanam, Tan Sri R. Nadarajah (dua dari kiri) hadir pada Sambutan Hari Perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Salah satu kekecewaan penganut Hindu pada sambutan Thaipusam kali ini ialah prosedur operasi standard (SOP) yang menghalang acara membawa kavadi.

Malah kekecewaan itu turut diluahkan sendiri oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan yang juga merupakan seorang penganut agama itu yang membawa kavadi sejak tahun 1980 lagi.

“Bila saya dapat tahu SOP melarang kavadi, saya kecewa dan cukup terkesan juga. Mengapa perlu ketat seperti ini kononnya bagi membendung Covid-19 seperti varian Omicron dari terus merebak.

“Bayangkan apa yang saya rasa, saya ini tidak pernah tinggal acara kavadi. Bila lihat SOP itu, memang saya amat kecewa.

“Tahun lepas kita diberikan alasan Covid-19, kita patuh tanpa buat bising. Tahun ini, walaupun kecewa kita patuh. Anda lihat sendiri bagaimana semua penganut yang hadir ini ikut semua garis panduan yang telah kerajaan gariskan,” katanya di hadapan para pengunjung Kuil Subramaniyar di Batu Caves di sini hari ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan bercakap pada sidang media sempena Sambutan Hari Perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 JANUARI 2022.

Bagaimanapun, menurutnya, SOP Thaipusam ini hanya berkuatkuasa sehingga 19 Januari ini dan selepas itu terpulang kepada budibicara pengurusan kuil ikut SOP yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Saya sendiri akan ambil kavadi selepas itu (19 Januari) dan kepada yang tidak boleh ambil hari ini, selepas ini anda ambil kavadi kerana SOP itu ikut budi bicara rumah beribadat dengan SOP,”  katanya.

SOP sambutan perayaan itu yang antaranya menetapkan hanya upacara paal koodam atau menjunjung belanga mengandungi susu, aktiviti sembahyang dan perjalanan pedati sahaja dibenarkan pada Thaipusam kali ini.

Upacara paal koodam dibenarkan bermula Jumaat lalu hingga esok dengan penetapan jumlah kehadiran berbeza mengikut kuil, manakala acara kavadi serta gerai sementara tidak dibenarkan.

Upacara sembahyang secara bersesi dan perjalanan serta pergerakan kereta pedati pula dibenarkan mengikut SOP ditetapkan.

Terdapat 12 sesi sembahyang pada 16 hingga 17 Januari ini serta 19 Januari bermula pukul 5 pagi hingga 5 petang manakala 18 sesi ditetapkan bagi 18 Januari ini bermula pukul 5 pagi hingga 11 malam dengan jumlah kehadiran mengikut kuil masing-masing dan perlu disanitasi selepas tamat setiap sesi.

Susulan pengumuman itu, timbul dakwaan mengatakan Kementerian Perpaduan Negara  tidak ‘mendengar’ permintaan penganut Hindu.

Dalam pada itu, menterinya, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique yang turut hadir pada sambutan Thaipusam di Batu Caves pagi ini memberitahu pihaknya telah membawa semua cadangan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 untuk pertimbangan berdasarkan keperluan menjaga keselamatan serta kesihatan daripada pandemik itu pada bulan Disember lepas.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Halimah Sadique bercakap pada sidang media sempena Sambutan Hari Perayaan Thaipusam di Batu Caves, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ 18 JANUARI 2022.

“Kementerian membawa cadangan dan permintaan mereka ke jawatankuasa Mesyuarat Kuartet Menteri Covid-19 untuk dipertimbangkan daripada segi keselamatan dan kesihatan rakyat serta penganut tetapi semua ini di putuskan jawatankuasa itu bukan kami.

“Kami hanya menyampaikan SOP berkenaan. Kita cuba mohon 50,000 penganut mengikut kapasiti kuil di Batu Caves ini tapi keputusan hanya untuk 6,000 setiap hari.

“Janganlah salahkan Datuk Saravanan, beliau telah cuba sedaya upaya perjuangkan isi hati dan permintaan masyarakat India terutamanya yang hendak melakukan nazar mereka, kami cuba sehingga saat-saat akhir dengan memberikan pelbagai justifikasi,” ujarnya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast