Rosyam Nor melakukan misi membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda dan Bukit Canggang, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Populariti diraih aktor Datuk Rosyam Nor sejak hampir empat dekad melangkaui sempadan dan tidak hanya terbatas di tanah air sendiri.

Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH pada 2002 itu pernah menembusi pasaran filem India, Kabali sekitar lima tahun lalu dan beraksi di samping Rajnikanth.

Baru-baru ini, pelakon berusia 54 tahun itu aktor terkenal tidak asing lagi, Louis Koo menerusi filem G Storm arahan David Lam.

Dalam erti kata lain, namanya semakin dikenali peminat bukan dalam kalangan Melayu.

Kerana dikenali bukan saja dalam kalangan peminat Melayu itu juga, anak kelahiran Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur memperoleh tuah tidak disangka selepas namanya menghiasi dada akhbar dan portal media berlainan bahasa dek membintangi filem Hong Kong itu.

Menurutnya, usaha untuk membantu membersihkan kediaman mangsa banjir baru-baru ini juga dipermudahkan apabila seorang pengusaha alat pancutan air (water jet) berbangsa Cina tiba-tiba memberikan peralatan itu secara percuma.

“Selepas muncul melalui filem India, Kabali bersama Superstar Rajinikanth, nama saya mula dikenali di kalangan peminat India. Dan apabila diberi kesempatan membintangi filem Hong Kong, saya dapati masyarakat Cina pula mula mengenali saya.

“Terbaharu, seorang pengusaha ‘water jet’ bertanyakan kepastian sama ada sayalah pelakon yang membintangi G Storm bersama Louis Koo. Pertanyaan itu bertitik tolak kerana dia mengakui pernah membaca berita mengenai filem itu yang menampilkan saya sebagai satu satunya pelakon dari Malaysia.

“Mula-mula saya datang nak membeli (water jet), tapi selepas dia menyedari sayalah yang membintangi filem itu di samping Louis, pengusaha terbabit terus memberikan 19 alat pancutan air percuma,” katanya.

Rezeki Rosyam Nor mendapat 19 alat pancutan air percuma untuk membantu mangsa banjir.

Berkongsi lanjut mengenai misi bantuan banjir dijayakan baru baru ini, Rosyam berkata, dia menggerakkan ahli pasukan kira-kira 40 orang untuk melakukan kerja pembersihan di kediaman mangsa.

Katanya, dia tergerak hati untuk meringankan penderitaan mereka selepas sebak membaca luahan perasaan pihak yang terjejas dan mengharapkan bantuan di media sosial.

“Dulu apabila berlaku banjir di Pantai Timur, Kelantan misalnya saya tak sempat pergi ke sana. Jadi apabila muncul bah di Kuala Lumpur dan Selangor, saya cuba bantu. Saya dapat bantu serba-sedikit, saya rasa gembira.

“Ia sungguh menyayat hati terutama bila melawat lokasi bencana di Hulu Langat. Saya dapati pasca banjir, ada kediaman yang bercampur air kumbahan dan longkang.

“Rumah makcik yang kami kerap gunakan untuk lokasi penggambaran drama dan telefilem juga hanyut kerana banjir. Makcik itu akur, Allah sudah ambil segala galanya. Betapa makcik itu reda,” katanya.

Bagi Rosyam, betapa pentingnya untuk masyarakat saling membantu di saat genting, dan dia yakin itulah semangat dan kekuatan yang mampu rakyat negara ini hulurkan tanpa memilih siapa pun.

“Semua rakyat Malaysia prihatin dengan bencana, itu kekuatan kita. Jika negara luar mempunyai masalah pun rakyat negara ni turut membantu misalnya untuk Palestin dan Syria.

“Namun, saya berharap rakyat negara ni terus fikirkan jalan terbaik untuk membantu dan menyumbang daripada segi peralatan kerana ada mangsa banjir yang mengalami kemusnahan mutlak,” katanya.

Rosyam dalam pada itu berkata ada misi membantu mangsa banjir di Taman Sri Muda dan Bukit Canggang dijayakannya turut disertai rakan artis seperti Datin Seri Nina Juren, Datuk Fizz Fairuz dan Betty Banafe.

Turut sama meringankan beban ialah St Rosyam Mart dan pertubuhan Ikhlas.com. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast