Azam Baki

KUALA LUMPUR – Keterangan bebas yang diperolehi Suruhanjaya Sekuriti semasa melaksanakan inkuiri berhubung dengan akaun dagangan saham Tan Sri Azam Baki mendapati Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia itu adalah penama akaun saham dan beliau mempunyai kuasa ke atas akaun saham tersebut

Suruhanjaya Sekuriti (SC) menambah, Azam juga telah mengendalikan akaun saham yang dibukanya dan telah menyampaikan arahan untuk jual, beli serta pemindahan saham daripada akaun tersebut

Oleh itu, SC membuat keputusan bahawa tiada pelanggaran Seksyen 25(4) daripada Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991, katanya dalam kenyataan ringkas.

Kenyataan ini adalah penjelasan lanjut yang dibuat oleh SC semalam.

Dalam kenyataan semalam, pengawal selia kewangan negara itu memaklumkan, ia tidak dapat memastikan secara muktamad jika berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku dalam akaun dagangan membabitkan Azam.

Menurutnya, remit pengaturan SC tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

Siasatan ini untuk memastikan sama ada berlaku kemungkinan perlanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Industri Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), yang memperuntukkan bahawa akaun dagangan mesti dibuka atas nama pemilik benefisial atau penama yang diberi kuasa.

Selain itu, Seksyen 25(4) SICDA menetapkan bahawa semua urus niaga sekuriti hanya boleh dilakukan oleh pemilik manfaat sekuriti atau penama yang dibenarkan,” katanya. – MalaysiaGazette