Lagu Duit menampilkan Bunga Cantik iaitu Stacy sendiri dan Koh sebagai komposer serta lirik ditulis oleh Bunga Cantik.

KUALA LUMPUR – Setiap lagu yang dilancarkan punya kisah berbeza. Apatah lagi sejak dia membabitkan diri dalam bidang penciptaan dan penulisan lirik, kebanyakan lagu itu cukup dekat dengan kehidupan sehariannya.

Apatah lagi, 14 tahun bergelar anak seni juga satu tempoh yang cukup mematangkan dirinya. Tiada lagi istilah mahu bereksperimen, sebaliknya, Stacy, 32, atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam ingin terus membuktikan kemampuan yang ada pada diri.

Malah, buat pertama kali menerusi buah tangan terbaharunya berjudul Duit, Stacy membongkar kisah sebenar dirinya. Dalam erti kata lain, lagu yang dilancarkan semalam sekaligus menceritakan siapa sebenarnya Stacy.

Masih setia menggunakan khidmat suami tercinta yang juga penyanyi Akim Ahmad (Hang Nadim), lagu Duit ini juga menampilkan Bunga Cantik iaitu Stacy sendiri dan Koh sebagai komposer serta lirik ditulis oleh Bunga Cantik.

“Lirik lagu Duit ini ditulis terus daripada saya. Siapa kenal dan mengikuti latar belakang hidup dan perwatakan saya, ia memang berkaitan dengan lirik lagu ini. Lagu ini terinspirasi daripada itu sekaligus tercetusnya idea saya menulis lirik lagu ini yang mana lebih bercerita mengenai kehidupan saya. 

Apabila saya mengatakan itu, banyak pesanan, ilmu dan bekalan kehidupan yang selalu disertakan untuk membesar. Ia lebih pada ajaran daripada orang tua. Dalam masa sama, duit ini boleh tukar hidup seseorang dari tak suka kepada suka. Daripada duit juga terhasil cerita, asal saja tahu macam mana nak mendapatkan duit,” katanya.

Lirik lagu Duit ditulis berkisahkan hidup Stacy.

Menurut Stacy, menerusi lagu Duit ini juga peminat dan orang ramai akan mengetahui kisah dan perjalanan hidupnya.

“Walaupun sudah hampir 14 tahun bergelar penyanyi, saya berasakan lagu ini adalah pengenalan untuk saya memperkenalkan kehidupan saya dan siapa saya pada orang ramai. Sebab dengan sekarang saya sudah boleh buat lagu dan tulis lirik sendiri. 

“Jadi, ia lebih memberi buka peluang dan ruang pada saya untuk bercerita siapa saya sebenarnya. Saya ini macam mana. Jadi lagu Duit ini memang mengenai saya. Dari segi gaya, ‘vibes’ karakter macam lagu dulu, tapi lirik mengenai saya.

“Kalau dulu lagu Aku Stacy ia lebih pada karakter yang saya dapat sampaikan, tapi dari segi diri sendiri ia berbeza. Sebab lagu itu orang lain tulis lirik. Tapi lagu Duit ini memang lahir dari hati saya. Lebih menjiwai dan sampai sebab bercerita mengenai pengalaman dan diri sendiri,” katanya.

Stacy berkata, dengan adanya pembabitan Akim dalam lagu itu sedikit sebanyak mewarnai lagi penghasilan lagu Duit.

“Lagu ini saya boleh katakan bergenre rock n roll pop. Dalam masa sama tarian ada tapi tak berat. Saya panggil ‘rock dance’. Lagu ini rancak, bukan lagu balada.

“Dengan pembabitan Akim dalam lagu ini, itu yang muzik lebih rock n roll. Kiranya gabungan muzik kami. Sentuhan Koh juga memberikan eleman yang segar. Saya tak sabar untuk melancarkan lagu ini dan mendengar maklum balas peminat. Apa saya boleh cakap, saya selesa dengan lagu ini dan ia memang bercerita mengenai diri saya. Karakter itu pun memang kena dengan karakter sebenar saya,” katanya.

Stacy sudah 14 tahun bergelar anak seni.

Berkongsi lanjut mengenai lagu Duit, Stacy berkata ia sudah disiapkan sejak September tahun lalu.

Dalam masa sama, kejayaan lagu ciptaannya bersama Akim iaitu Cinta nyanyian Marsha yang layak ke Anugerah Juara Lagu ke-36 (AJL 36) memberikan semangat untuknya melancarkan lagu Duit ini.

“Lagu ini sudah siap dari September tahun lalu. Cuma tangguh dan keluarkan lagu orang lain dulu. Dari segi semangat keluarkan lagu ini sebab lagu Cinta nyanyian Marsha ke AJL, ia sedikit sebanyak ada. Kita semangat dan lebih yakin keluarkan produk baru. 

“Tapi dari dulu lagi kami memang main buat dan keluarkan saja. Akim pun pernah cakap jangan terlalu fikir pendapat atau kejayaan lagu yang dibuat, baru nak semangat. Itu masalah juga. Bidang ini adalah sebahagian daripada pekerjaan kami. Apabila Akim memperkenalkan saya sebagai komposer dan penulis lirik, kami punya tujuan lebih pada nak berkarya. Dalam masa sama ini juga punca pendapatan dan ini adalah rezeki. 

“Apabila ada lagu yang berjaya dan pergi jauh, ia adalah rezeki. Macam lagu Cinta, tak pernah jangka boleh ke AJL. Syukur Alhamdulillah. Setiap kali keluarkan lagu, kami tidak pernah jangka sejauh mana ia boleh pergi. Cuma keyakinan itu tetap ada. Susah nak cakap kalau soal rezeki.

“Apabila lagu Cinta kami ke AJL, ia memberi lebih semangat. Sebab tiada siapa boleh ramal lagu mana yang bagus. Walaupun rasa bagus dan okay, mana yang tidak, tapi susah nak jangka rezeki. Saya percaya macam lagu Cinta nyanyian Marsha, masing-maisng main peranan. Bukan daripada kami saja. Daripada nyanyian ‘live’ dia juga memberi,” katanya. –  MalaysiaGazette