Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. Foto MOHD ADZLAN.

KUALA LUMPUR – Semua pihak diminta menghormati keputusan pihak berkuasa terhadap isu yang dihadapi Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Justeru itu, Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyeru agar masyarakat berhenti daripada terus menggembar-gemburkan isu yang dihadapi Azam.

“Saya berharap suara-suara yang berkeras untuk terus memainkan kes ini akur dengan keputusan SC (Suruhanjaya Sekuriti) dan menghormati autoriti SC yang telah menjalankan tugasnya tanpa sebarang campurtangan menurut undangundang.

“Ini adalah kerana Pakatan Harapan sendiri yang menyarankan dari awal lagi supaya SC menyiasat Tan Sri Azam Baki. Namun, apabila SC membuat keputusan, maka SC dipersoal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, SC membersihkan nama Azam apabila menyatakan suruhanjaya itu tidak dapat memastikan secara muktamad jika berlaku pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) SICDA telah berlaku dalam akaun dagangan membabitkan beliau.

Menjawab mengenai siasatan yang dijalankan ke atas Azam, badan pengawalselia itu berkata, remit pengaturan SC tertakluk di bawah Akta Suruhanjaya Sekuriti 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (Sicda).

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata, Pakatan Harapan (PH) perlu menerima keputusan yang dibuat SC dan berhenti mempersoalkan keputusan tersebut.

“Nampaknya Pakatan Harapan sedang memerangi penjawat awam yang berdedikasi dan komited menjalankan amanah mereka demi agenda politik yang sempit dengan memperlekehkan kerajaan dan institusi kerajaan seperti SPRM dan SC.

“Ini bukan sahaja tidak tulus, malah bersifat tidak patriotik dan meruntuhkan semangat utuh perkhidmatan awam, sekaligus mengkompromi masa depan negara demi agenda politik semata-mata,” katanya lagi.

Semalam, Azam melahirkan rasa syukur terhadap atas keputusan dibuat SC yang mendapati tiada kesalahan dilakukan oleh beliau.

Justeru itu, beliau akan meneruskan tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM. – MalaysiaGazette