Peguam Muda Amanah, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda (dua kiri) bersama Pengarah Mobilisasi Pemuda Amanah, Abbas Azmi (empat kanan) dan Naib Ketua Pemuda Amanah, Ahmad Zubair Ab Rahim (kiri) berjalan keluar selepas selesai memberi keterangan polis susulan sidang media demonstrasi #TangkapAzamBaki di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Pemuda Amanah Negara tidak menolak kemungkinan untuk menulis surat kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) ubagi meminta penjelasan berhubung status siasatan ke atas Tan Sri Azam Baki yang dianggap mengelirukan.

Peguamnya, Ahmad Azri Abdullah berkata, kenyataan SC lebih mengelirukan sedangkan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jelas memiliki lebih 100,000 saham.

“Pemuda Amanah akan menulis kepada SC, kita nakkan kepastian apa yang berlaku.

“SC merumuskan tiada kesimpulan terhadap sama ada Ketua Pesuruhjaya SPRM bersalah atau tidak pada pelanggaran Seksyen 25(4).

“Kenyataan media itu sendiri mengelirukan. Kita perlu hantar (surat) kepada SC untuk mendapatkan penjelasan,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, hari ini.

Semalam, SC tidak dapat membuktikan wujud pelanggaran pemilikan saham menerusi akaun dagangan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

SC tidak dapat memastikan secara muktamad bahawa pelanggaran di bawah Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA) berlaku.

SC berkata, sebagai pengawal selia pasaran modal, bidang kuasa kawal selia mereka ditetapkan mengikut Akta Suruhanjaya Sekuriti Malaysia 1993 (SCA), Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 (CMSA) dan SICDA.

Terdahulu Ahmad Azri menemani anak guamnya daripada Pemuda Amanah Nasional iaitu Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda, Ahmad Zubair Ab Rahim dan Abbas Azmi yang dipanggil IPD Dang Wangi untuk memberi keterangan berhubung kenyataan media mereka mengenai demonstrasi #TangkapAzamBaki di Wisma Amanah Negara, semalam.

Dalam pada itu, Ahmad Azri berkata, sekiranya jawapan yang diterima daripada SC tidak memuaskan hati, beliau bercadang untuk mengambil tindakan mahkamah terhadap institusi itu.

“Tindakan undang-undang selanjutnya untuk memastikan keadilan itu diberikan kepada semua pihak terutamanya rakyat Malaysia kerana ia melibatkan institusi pencegahan rasuah tertinggi negara.

“Kita tahu dalam kes 2011, sudah ada satu keputusan di mana SC mengambil tindakan ke atas seorang individu atas kesalahan sama yang dilakukan oleh KP SPRM atau adiknya.

“Sekarang tiba-tiba mereka tiada sebarang konklusi dan kita berharap kalau tiada sebarang kesalahan, maksudnya ada kesimpulan lain.

“Kesalahan itu ialah saham itu telah dibeli melebihi daripada peruntukan yang disediakan oleh pekeliling (penjawat awam) iaitu hadnya hanya 100,000 dan kita semua tahu pembelian itu lebih dari 100,000,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast