Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan bercakap kepada media selepas Majlis Penutup Bulan Dakwah YADIM 2021 dan Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Record program Tazkirah 24 Jam Tanpa Henti Sirah Nabawiyyah Rahiq Al Makhtum Sempena Maulidur Rasul 1443H di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali dinasihatkan agar menerima keputusan penggugurannya sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas dengan tenang.

Ini kerana, beliau masih lagi boleh memperjuangkan usaha menyebar syariat Islam meskipun beliau tidak memegang apa-apa jawatan dalam parti, kata Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Pusat, Nasrudin Hassan.

Beliau berkata, kepimpinan Pas pastinya memahami mengenai keputusan yang dibuat serta mempunyai mesej jelas berhubung perkara itu.

“Saya menasihatkan kepada Datuk Dr Khairuddin terima keputusan dengan akur, tenang dan baik…sebab kerja-kerja Islam (dakwah) ini bukan semestinya ada jawatan.

“Tanpa jawatan pun kita boleh mengamalkan amalan Islam ini dengan baik dan tambah-tambah lagi beliau masih lagi mempunyai kedudukan sebagai Setiausaha Majlis Syura,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Himpunan Bulanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Kamarul Arief Tuan Soh.

Dalam pada itu Nasrudin yang juga Yang Dipertua YADIM berkata, dengan kedudukan Khairuddin sebagai Setiausaha Majlis Syura itu banyak perkara boleh beliau lakukan untuk agama dan perjuangan Islam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lepas mengesahkan pengguguran Mohd Khairuddin sebagai AJK Pas tidak sampai dua bulan dilantik ke jawatan tersebut.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, Abdul Hadi enggan mengulas lanjut punca sebenar bekas Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi itu disingkirkan. – MalaysiaGazette