KUALA LUMPUR – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mempelawa semua warganegara Malaysia yang berkelayakan untuk memohon Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) Tahun 2022.
BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam untuk pengajian di peringkat sarjana (penyelidikan) dan enam untuk pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di dalam dan luar negara dalam bidang sains dan teknologi, ekonomi, undang-undang dan kewangan Islam.
Pemohon boleh melengkapkan borang permohonan secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my mulai 19 Januari 2022.
Borang permohonan yang lengkap berserta dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan dan diterima oleh pihak JPA sebelum atau pada 22 Februari 2022 (Selasa) sama ada secara serahan tangan atau pos.
Syarat-syarat permohonan BYDPA Tahun 2022 adalah seperti berikut:
i. Warganegara Malaysia;
ii. Umur tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2022;
iii. Mempunyai keputusan akademik yang amat cemerlang di peringkat pengajian:
(a) Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan dengan CGPA minimum
3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon sarjana; atau (b) Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana yang diiktiraf oleh kerajaan dengan CGPA minimum 3.75 atau kelas pertama atau yang setaraf dengannya bagi calon PhD;
iv. Telah mendapat tawaran tanpa syarat bagi pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian; atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penawaran di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan oleh JPA mengikut bidang pengajian;
v. Pengajian bagi peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja
yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis;
vi. Terlibat dalam penghasilan kerja-kerja kreatif dan inovatif seperti
penulisan, reka cipta seni atau teknologi dan sebagainya iaitu:
(a) Calon Sarjana: Penglibatan calon secara aktif adalah satu kelebihan; atau
(b) Calon Ph.D: Penglibatan calon adalah wajib.
Calon yang memenuhi syarat-syarat permohonan akan disaring lanjut oleh pihak JPA sebelum disenarai pendek untuk menghadiri temu duga.
Sebarang maklumat lanjut mengenai penawaran ini, sila layari portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03 – 8885 3879 / 3569 / 3438/ 3371/
3571 pada setiap hari bekerja mulai jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang atau e-mel kepada [email protected]. – MalaysiaGazette