Bacaan IPU di Daerah Seberang Perai Selatan kini menghampirkan tahap tidak sihat.

NIBONG TEBAL – Kawasan Seberang Perai Selatan khususnya lokasi di Jalan Byram mencatatkan indeks pencemaran udara (IPU) hampir tidak sihat.

Berdasarkan maklumat dipaparkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU tertinggi direkodkan di Seberang Perai Selatan iaitu 99 yang dipercayai berpunca daripada kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, di sini.

Bacaan IPU 0-50 menunjukkan kualiti udara sihat; 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 pula tahap berbahaya.

Orang ramai boleh merujuk laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di alamat http://apims.doe.gov.my/v2/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar, MyIPU di ‘Google Play’ bagi mendapatkan bacaan IPU terkini pada setiap jam.

Sementara itu, tinjauan MalaysiaGazette mendapati laluan di Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah kelihatan berjerebu susulan lokasi kebakaran itu terletak berhampiran.

Pemandangan di atas jambatan kedua menuju ke Batu Kawan agak kabur.

Seorang pengguna jalan raya yang ingin dikenali sebagai Fairuz Azmi berkata, perjalanan dari Batu Maung menuju ke tempat kerjanya di kawasan perindustrian Batu Kawan hari ini agak lama susulan pemandangan di atas jambatan terhad akibat jerebu.

“Sejak semalam saya dapati perjalanan menuju ke Batu Kawan kabur akibat jerebu sebelum rakan sekerja memaklumkan ada kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, di sini.

“Selepas itu baru saya perasaan ada kepulan asap putih berhampiran kawasan selatan laut yang dipercayai lokasi tapak pelupusan sampah itu,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Tambah Fairuz, dia kini terpaksa keluar awal untuk ke tempat kerja kerana bimbang penglihatan atas jambatan kian teruk akibat jerebu.

Untuk rekod, tapak pelupusan sampah berkeluasan 16.19 hektar dilaporkan terbakar dalam kejadian jam 4.43 petang, Rabu lalu namun sehingga kini pemadaman secara keseluruhan masih belum dapat dilakukan.

Anggaran keluasan yang terbabit dengan kebakaran adalah 6.5 hektar. – MalaysiaGazette