Taylor Regan. Foto Twitter Newcastle Jets FC.

KUALA LUMPUR – Bekas pemain pertahanan Sarawak United, Taylor Regan sah kembali ke Liga Australia selepas kecewa gaji tidak dibayar dan menamatkan baki kontrak 12 bulan bersama kelab Liga Super itu.

Perkara itu diumumkan oleh kelab Newcastle Jets FC menerusi ciapan di laman sosial Twitter hari ini.

Hantaran itu memaparkan poster yang tertera gambar Regan dengan status yang memberitahu pemain itu sudah kembali.

Berita kepulangan Regan turut disambut baik ramai peminat bola sepak Australia dan menyifatkan ia sebagai khabar gembira.

Regan sebelum ini mencuri tumpuan liga bola sepak negara selepas dia menyuarakan rasa kecewa terhadap pasukan Sarawak United kerana gagal menjelaskan tunggakan empat hingga lima bulan gaji.

Tidak hanya itu, pemain import berusia 33 tahun itu turut mengheret Sarawak United kepada FIFA selepas tidak menerima gaji sejak beberapa bulan lalu.

Dia turut menamatkan baki kontrak 12 bulan bersama Sarawak United.

Katanya, dia tidak mempunyai pilihan selain daripada bertindak sedemikian selepas pengurusan kelab seperti tidak mengambil endah perkara yang berlaku di dalam pasukan.

“2021 adalah musim yang dianggap berjaya dan menyeronokkan, tetapi kini tiba masanya untuk mengucapkan selamat tinggal.

“Kami (pasukan) telah mencapai banyak kejayaan pada tahun ini dan saya sendiri telah membina persahabatan seumur hidup bersama kumpulan pemain dan kakitangan di sini.

“Ini adalah keputusan yang sukar kerana saya masih mempunyai baki kontrak selama 12 bulan. Tetapi keadaan kewangan yang menjadi isu kelab membuatkan saya tiada pilihan lain.

“Saya masih berharap pihak kelab masih mampu mencari jalan penyelesaian untuk membayar gaji rakan sepasukan lain dan barisan kejurulatihan secepat mungkin.

“Mereka (pemain dan jurulatih) sememangnya berhak mendapatkan apa yang telah dijanjikan (oleh pengurusan). Selamat maju jaya kepada semua pihak untuk masa depan,” kongsinya. – MalaysiaGazette