Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), Nasrudin Hassan berucap pada Majlis Penutup Bulan Dakwah YADIM 2021 dan Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Record program Tazkirah 24 Jam Tanpa Henti Sirah Nabawiyyah Rahiq Al Makhtum Sempena Maulidur Rasul 1443H di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 19 JANUARI 2022.

PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) akan mengurangkan tumpuan terhadap bantuan kebajikan sebaliknya menumpukan kepada gerakan dakwah dalam usaha memantapkan akidah dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Yang DiPertuanya, Nasrudin Hassan berkata, ketika ini sudah banyak pihak yang terbabit dengan kerja-kerja kebajikan dan sekiranya perlu, YADIM akan berkolabrasi dengan pihak lain bagi mengadakan program-program kebajikan tersebut.

Menurutnya, melalui cara itu kos yang diperuntukan kepada YADIM dapat dimaksimakan dengan aktiviti gerakan dakwah secara langsung selaras dengan penubuhan YADIM bagi memperkasa dakwah di negara ini.

Katanya, masyarakat hari ini berhadapan dengan masalah gejala sosial yang tenat di samping ajaran sesat yang perlu diberikan perhatian dan pencerahan.

“Bagi menangani masalah ini YADIM memerlukan tenaga pendakwah yang ramai dan memerlukan kos yang tinggi di samping peruntukan disalurkan kerajaan dan sumbangan NGO,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Penutup Bulan Dakwah YADIM 2021 dan Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Record program Tazkirah 24 Jam Tanpa Henti Sirah Nabawiyyah Rahiq Al Makhtum Sempena Maulidur Rasul 1443H di Dewan Sheikh Daud Al-Fathoni, Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh.

Dalam pada itu, Nasrudin berkata, YADIM menggariskan lima fokus utama untuk dilaksanakan sepanjang tahun ini.

Katanya, antara fokus tersebut adalah melaksanakan gerakan dakwah di pentas antarabangsa, pelaksanaan gerakan dakwah kepada golongan anak muda dan kontemporari, gerakan dakwah mesra untuk saudara baharu, gerakan dakwah untuk penyatuan ummah dan gerakan dakwah untuk menghasilkan da’i-da’i pelapis yang akan menjalankan kerja-kerja dakwah.

Ujarnya, YADIM mempunyai matlamat berhubung perkara itu dan fokus yang digariskan akan cuba dilaksanakan dengan sebaik mungkin. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast