Seramai 44 pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) menerima dos penggalak di PDK Kompleks Penyayang di Kuantan.

KUANTAN – Seramai 25,508 orang kurang upaya (OKU) di Pahang lengkap menerima dua dos vaksin dan 32 peratus daripada jumlah itu telah menerima vaksin dos penggalak sehingga hari ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, pemberian dos itu dilakukan secara jangkauan seperti dari rumah ke rumah melibatkan 400 warga emas dan OKU terlantar.

Datuk Dr. Nor Azimi Yunus

Tambah Nor Azimi, bagi mencapai sasaran liputan dos penggalak kepada penerima di negeri ini, sebanyak 207 pusat pemberian vaksin (PPV) termasuk sembilan PPV awam telah dibuka.

“Jumlah PPV itu termasuk 81 PPV Klinik Kesihatan, enam PPV KK lepas waktu pejabat, 11 hospital kerajaan, 78 PPV swasta, sembilan PPV di luar fasiliti kesihatan swasta dan dua PPV hospital swasta.

“Untuk hari ini, seramai 44 OKU daripada 87 penerima yang disasarkan menerima suntikan vaksin dos penggalak melibatkan enam pusat PDK di daerah Kuantan,” katanya pada sidang media Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kompleks Penyayang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, hari ini.

Untuk rekod seramai 380,002 individu daripada sasaran 1.01 juta penduduk di negeri ini, bersamaan 36.2 peratus, telah menerima dos penggalak Covid-19.

Mengulas lanjut, beliau yakin peningkatan penerimaan dos penggalak boleh mencapai 100 peratus dalam tempoh sebulan setengah jika sasaran kapisiti harian dipenuhi setiap hari.

“Sasaran kapasiti harian boleh mencapai lebih 20,700 penerima setiap hari tidak termasuk program jangkauan luar menerusi 207 PPV yang disediakan,” katanya. – MalaysiaGazette