Seorang warga emas dan tiga anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Melaka hari ini atas pertuduhan menawarkan projek mengorek pasir tidak wujud membabitkan kerugian RM1 juta dua tahun lalu.

MELAKA – Seorang warga emas dan tiga anaknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menawarkan projek mengorek pasir tidak wujud membabitkan kerugian RM1 juta dua tahun lalu.

Tertuduh, Wong Tiing Kiong, 64, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nariman Badruddin sebaik sahaja dua pertuduhan dibacakan dalam prosiding yang diadakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan curangnya menipu, mendorong dan memperdayakan Chong Teamwork Marketing Sdn Bhd dengan menawarkan projek menggali pasir tidak wujud.

Perbuatan tersebut telah mendorong syarikat terbabit menyerahkan wang berjumlah RM1 juta menerusi dua cek Public Bank bernilai RM500,000 setiap satu kira-kira 10.10 pagi di Melaka Raya, dalam daerah Melaka Tengah pada 19 April 2019.

Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Sementara itu, prosiding berasingan, tiga anaknya termasuk seorang perempuan Wong Sing Kung, 44, Amy Wong E Tim, 33, dan Felix Wong Sing Jie, 27, turut didakwa dan mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Maziah Joary Tajudin.

Mereka didakwa telah bersubahat melakukan kesalahan tersebut dan didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 420 serta Seksyen 34 akta sama.

Sabit kesalahan boleh dipenjara minimum setahun dan maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Najwa Nazari dan Muhammad Nazrin Ali Rahim.

Kesemua tertuduh yang diwakili peguam Paul Krishnaraja dalam rayuannya memohon agar jaminan rendah dapat diberikan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik seperti sanggup segera tiba di Melaka dari Sarawak semalam untuk hadir prosiding hari ini.

Mahkamah kemudian membenarkan keempat-empat beranak itu dijamin sebanyak RM80,000 bagi kesemua pertuduhan selain tertuduh diperintah menyerahkan pasport antarabangsa dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Februari depan untuk sebutan semula kes.- MalaysiaGazette