Ipoh dilanda banjir kilat. - Gambar ihsan - Bomba Perak

IPOH – Beberapa kawasan di bandar raya Ipoh dilanda banjir kilat malam tadi susulan hujan lebat.

Antara kawasan yang terlibat ialah Bercham, Taman Perpaduan, Taman Cempaka, Bandar Seri Botani dan susur keluar ke Tambun.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 malam berhubung bencana berkenaan melanda beberapa kawasan Bercham di sini.

“Paras banjir di kawasan itu dianggarkan lebih setengah meter namun tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.

“Kita lakukan pemantauan dan ada beberapa penduduk yang terkandas dipindahkan ke rumah saudara mereka,” katanya dalam satu kenyataan media lewat malam tadi.

Difahamkan air naik mendadak disebabkan longkang berdekatan tidak mampu menampung kapasiti air hujan yang banyak. – MalaysiaGazette