Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (tengah) menyerahkan sumbangan kepada pihak HTAA

KUANTAN – Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) menyumbang peralatan perubatan bernilai lebih RM238,560 kepada Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi menambah nilai fasiliti rawatan kepada pesakit

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan peralatan perubatan tersebut merupakan dua unit mesin hemodialisis , transurethral resection (TUR), defibrillator, mesin sinar-x mudah alih dan electrocautery.

Selain itu, MUIP turut menyampaikan hamper dan wang tunai bernilai RM94,000 kepada 400 pesakit di HTAA menerusi ziarah prihatin.

“MUIP menyediakan peruntukan khas setiap tahun bagi membantu hospital dan klinik kesihatan di Pahang.

“Usaha ini meringankan beban pusat rawatan kesihatan yang memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Memandangkan kita tidak mempunyai kepakaran dalam bidang perubatan, jadi setiap cadangan dan permohonan bantuan  akan dinilai sebelum diluluskan,” katanya.

Pada tahun 2021, MUIP memberi bantuan peralatan perubatan bernilai RM973,152 kepada hospital dan klinik di negeri ini. – MalaysiaGazette