Mahadi menunjukkan gambar permandangan laut diliputi asap yang dirakamkan nelayan di kawasan Seberang Perai Selatan.

SEBERANG PERAI – Pendapatan kira-kira 1,000 nelayan daerah Seberang Perai Selatan (SPS) terjejas selepas mereka tidak boleh melakukan aktiviti tangkap ikan di laut ketika ini.

Ia susulan asap kebakaran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Nibong Tebal menghadkan pandangan mereka ketika melakukan aktiviti memukat ikan di laut.

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (PEN Mutiara) Mahadi Md Rodzi berkata, pihaknya menerima aduan daripada lima pangkalan nelayan di SPS berhubung isu tersebut yang menjejaskan hasil tangkapan serta pendapatan mereka.

Mahadi.

Lima pangkalan nelayan itu terdiri daripada Unit Changkat yang terletak paling hampir dengan tapak pelupusan sampah terbabit diikuti Unit Sungai Udang, Sungai Chenaam, Pulau Aman serta Bukit Tambun.

Jelas beliau, kesan terhadap golongan nelayan itu secara langsung memberi impak kepada masyarakat setempat apabila bekalan ikan di kawasan itu berkurangan.

“Isu ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia bukan jejaskan pendapatan golongan nelayan semata-mata malah ia turut memberi kesan pada kenaikan harga ikan susulan kekurangan bekalan.

“Sudah lebih seminggu kejadian ini dan akibatnya mula dirasai nelayan sejak empat hari lalu apabila pandangan mereka di laut diliputi asap seakan jerebu.

“Selain itu, nelayan juga takut turun ke laut bukan saja atas faktor kesihatan tetapi bimbang berlaku kemalangan kerana padangan mereka sekadar 30 meter,” katanya ketika ditemui di Pejabat Persatuan Nelayan Seberang Perai di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Mahadi berkata, pihaknya berharap pihak berkaitan mengambil langkah untuk menangani isu tersebut termasuk membantu golongan nelayan yang terjejas.

Untuk rekod, Pulau Pinang mempunyai 37 pangkalan di kawasan Pulau dan Seberang Perai membabitkan 5,000 nelayan berlesen.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan, kira-kira 400 penduduk diarahkan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) susulan kawasan berkenaan berdepan masalah pencemaran udara akibat kebakaran di tapak pelupusan sampah Pulau Burung di sini, sejak 12 Januari lalu.- MalaysiaGazette