KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memfailkan afidavit balas bagi permohonan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan kerajaan Malaysia.

Sebelum ini Tommy dan kerajaan Malaysia telah memohon untuk membatalkan saman difailkan terhadap mereka oleh Najib dengan menyatakan tindakan bekas Perdana Mentteri itu merupakan serangan sampingan bagi menghalang prosiding kes jenayah terhadapnya.

Najib menerusi kenyataan berkata, permohonan Tommy itu adalah untuk menghalang dakwaan berkenaan kesalahan terhadapnya daripada didengar di mahkamah terbuka.

“Bahawa, satu penegasan oleh Tan Sri Tommy Thomas dalam afidavitnya adalah sangat tidak adil.

“Beliau membuat penegasan bahawa penetapan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa ‘semua orang adalah sama di sisi undang-undang dan berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang’ tidak terpakai kepada beliau setakat berkenaan pendakwaan terhadap saya.

“Adakah saya juga tidak diberikan perlindungan yang sama seperti rakyat Malaysia yang lain?

“Fakta-fakta yang saya bergantung kepada adalah terkandung dalam afidavit saya dan akan didengar di mahkamah,” kata Najib.

Tommy Thomas

Sebelum ini Tommy dan kerajaan Malaysia memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Ahli Parlimen Pekan itu yang menuntut ganti rugi hampir RM2 juta atas dakwaan beliau telah dituduh secara salah di mahkamah.

Permohonan tersebut dibuat atas alasan saman yang difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu merupakan satu ‘serangan sampingan’ (collateral attack) untuk menghentikan semua perbicaraan dan kes yang dihadapinya.

Notis permohonan dan afidavit sokongan difailkan pada 18 November lalu di Mahkamah Tinggi di sini.

Menurut afidavit sokongan yang difailkan itu, saman yang difailkan Najib pada 22 Oktober lalu adalah sesuatu yang mengaibkan, remeh, menyusahkan dan penyalahgunaan proses mahkamah.

Najib selaku plaintif juga tidak mempunyai kuasa tindakan yang munasabah dan merupakan satu tindakan yang tidak boleh dikekalkan (obviously unsustainable) atau dipertahankan.

Najib dalam saman beliau menyatakan Tommy telah melakukan misfeasans (gagal melaksanakan tugas dengan betul) dan penyalahgunaan proses dengan niat jahat (malicious process) dan cuai ketika menjadi Peguam Negara serta pertuduhan yang dihadapinya adalah sesuatu yang telah lama dirancang.

Najib mendakwa Tommy telah menyalahgunakan kuasa bagi memenuhi rancangannya untuk memenjarakan Najib, cuai menjalankan tanggungjawabnya untuk bertindak secara adil, mengikut batasan undang-undang dan berdasarkan peruntukan Perlembagaan.

Akibatnya, Najib mendakwa beliau hilang reputasi sebagai ahli politik, hilang kebebasan semasa disiasat pihak berkuasa dan turut mengalami kesakitan, penderitaan serta trauma.

Oleh itu, Najib memohon deklarasi bahawa Tommy telah melakukan misfeasans serta menuntut ganti rugi am, teladan dan tambahan yang akan ditaksirkan kemudian oleh mahkamah.

Beliau juga menuntut ganti rugi sebanyak RM1,941,988 iaitu kos-kos yang terpaksa ditanggung akibat pendakwaan tersebut seperti bayaran rundingan pasukan audit untuk melakukan semakan dokumentasi dan kos yang terpaksa dibazirkan kerana tidak dapat ke luar negara akibat syarat jaminan yang dikenakan terhadapnya. – MalaysiaGazette