KUALA LUMPUR – Rezeki terus menjadi milik pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi apabila dipilih duta kepada Nakada Group yang mengeluarkan peralatan elektrik untuk rumah buatan tempatan.
Aznil, 59, yang sebelum ini menjadi duta produk kesihatan, berkata, kehadiran jenama itu telah memudahkan rutin hidupnya yang bermula sebagai pengguna sejak Mei tahun lalu.
Figura kelahiran Kampung Datuk Keramat KL yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (Kategori Pengacara Paling Lama Berkhidmat) itu sendiri juga mengakui kemahiran memasak dapat terus diasah saban hari.
“Apabila jadi bapa tunggal kenalah belajar memasak. Dulu masa zaman bujang, skil itu mungkin terbatas. Tapi sekarang kalau diminta masak menu itu dan mungkin saya boleh siapkan.
“Tambah pula, memasak sekarang tak perlu skil. Konsep letak bahan dan campur diperlukan dalam mesin, siap dan boleh dimakan.
“Sejak Mei tahun lalu saya dilantik jadi duta jenama kelengkapan dapur dan barang elektrik jenama Nakada, lagi tambah senang kerja dan hidup ini,” kata bapa tunggal kepada tiga anaknya, Fildza Haifa 32, Fariq Haizen, 27 dan Firdaus Hariz, 13,.
Majlis menandatangani kontrak sekali gus mengumumkan Aznil sebagai duta diadakan ibu pejabat syarikat itu, di sini, hari ini.
Beroperasi sejak lebih dua dekad, Nakada Group dimiliki dan diusahakan dua adik beradik dari Malaysia, Datuk Yap Kok Heng dan Datuk Kok Siang.
Biarpun kedengaran seperti nama dari Jepun, hakikatnya jenama itu diangkat dari sekecil kecil usaha di pasar basah hingga menempa nama di dalam dan luar negara menerusi pasaran dalam talian.
Berasal dari sebuah syarikat berstatus ‘enterprise’ di bawah nama Tango Enterprise sejak 1999 dan kemudian ke Sdn Bhd pada Ogos 2007, jenama ini bergerak atas hasrat menjadikan kehidupan masyarakat lebih praktikal dan mementingkan aspek kesihatan.
Di bawah syarikat itu bernaung tiga jenama utama, Nakada, Primada dan Cuoco.
Mengulas lanjut, Aznil yang mesra dipanggil Pak Nik memberitahu, sebagai seorang selebriti yang aktif dengan kerja kebajikan itu, pembabitannya sebagai duta bukan sekadar melobi dan meningkatkan kesedaran ramai terhadap jenama itu.
“Bahkan saya juga akur pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu memberi kesan kepada ramai orang. Ia termasuk dalam aspek perbelanjaan ekonomi.
“Justeru, saya berbincang dengan pihak mereka untuk mengadakan sesi belian harga istimewa. Permintaan itu diperkenankan dan sekali gus membolehkan orang ramai memiliki barangan jenama itu dengan harga runtuh.
“Setiap minggu atas kapasiti sebagai duta, saya akan buat satu jam sesi siaran langsung di media sosial termasuk Facebook, Instagram dan TikTok. Dalam tempoh itu belian harga duta membolehkan pengikut media sosial membeli barangan jenama itu dengan potongan diskaun hingga 70 peratus,” katanya.
Sementara itu, Kong Heng selaku Ketua Pegawai Eksekutif syarikat berkata, pemilihan Aznil sebagai sebagai duta kerana beliau mempunyai imej yang sihat, ceria, peramah, suka memasak, menjaga kesihatan dan tubuh badan.
“Lalu minat dan dedikasinya itu bertepatan dengan produk yang syarikat kami pasarkan. Dia masih kekal relevan memikat hati ramai orang dalam bidang tugas dilakukan. Hatinya juga sangat murni kerana sentiasa mahu membantu mereka yang memerlukan.
“Lihat saja ketika era pandemik Covid-19 sejak dua tahun lalu dan musibah banjir, beliau antara yang tak betah duduk diam. Sebaliknya mahu membantu dengan menggunakan populariti dan kelebihan yang ada,” katanya.
Dalam pada itu, jika di Malaysia, Aznil menjadi pilihan namun di pasaran Hong Kong, posisi duta sama diambil selebriti Kiki Sheung sejak lebih 10 tahun lalu. – MalaysiaGazette