Dr. Abdul Latiff Ahmad

KUALA LUMPUR – Sesi penjelasan Datuk Dr. Ab. Latiff Ahmad terganggu dengan ‘serangan’ bertubi-tubi Ahli Parlimen pembangkang yang tidak berpuas hati jawapan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) itu.

Dr. Ab. Latiff pada awal penjelasan memaklumkan mengenai punca kejadian banjir melibatkan tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berikutan kedudukannya yang bersempadan.

Bagaimanapun, jawapan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Abdul Khalid Samad (Shah Alam), Gobind Singh Deo (Puchong), M. Kulasegaran (Ipoh Barat), RSN Rayer (Jelutong) dan Hannah Yeoh (Segambut).

Gangguan daripada Ahli-ahli Parlimen itu menyebabkan Ab. Latiff tidak dapat memberi jawapan mengikut giliran 44 pembahas yang menyentuh mengenai bidang tugasnya.

Ketika Ab. Latiff cuba menjawab soalan dibangkitkan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak), Abdul Khalid dan Gobind Singh cuba mengalih perhatian dengan meminta menteri memberi tumpuan pada jawapan teras iaitu bidang tugas NADMA.

‘Serangan’ bertalu-talu Ahli Parlimen pembangkang itu tanpa mendengar arahan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon menyebabkan Tajuddin ‘naik angin’.

Tanpa menghiraukan menteri sedang menjawab dan Mohd Rashid memintanya duduk, Tajuddin dengan suara kuat menegur pembangkang yang disifatkan sebagai menunjuk pandai, tetapi hakikatnya tidak ada kualiti kepimpinan.

The Chairman of Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA), Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman visits the project site of ’U-Trough Casting Yard’ to witness the installation of U-Girder at Bandar Saujana Putra, Selangor. PIX: SYAFIQ AMBAK / MalaysiaGazette /29 MARCH 2021
Tajuddin Abdul Rahman

“Apa ni? Orang (menteri) jawab you (kamu) kata tak jawab… jawab tak jawab… jawab tak jawab.. (tuduh) ini kerajaan tak bagus, kerajaan tak pandai… you all (pembangkang) masa jadi kerajaan (22 bulan) pandai ke? Pandai ke?

“Saya berada di sini (sebagai Ahli Parlimen) lama, jangan tunjuk pandai.. kita (rakyat) bagi jawatan jadi menteri (PH), apa buat?

“Ini Menteri Wilayah konon (Abdul khalid), apa kamu buat? Saya kenal semua kamu, saya tahu standard kamu, kualiti kamu,” katanya dalam nada tinggi menyebabkan dewan bertenang seketika.

Abdul Khalid bagaimanapun, bangun sambil dengan seloroh berkata, pembangkang ucap takziah kepada bakal duta ke Indonesia itu.

Untuk rekod, Tajuddin disebut-sebut akan dilantik sebagai Duta Malaysia ke Indonesia, tetapi setakat ini belum diumumkan lagi.

Mendengar ucapan Abdul Khalid, Tajuddin dengan suara tinggi memintanya diam.

Mohd Rashid kemudian meminta Ab. Latiff menghabiskan jawapannya kerana masa 20 yang diberikan sudah tamat.

Ab. Latiff ketika mempertahankan jawapan mengenai bidang tugasnya mengeluarkan kata-kata yang menyebabkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang senyap.

“Yang Berhormat, saya dilatih jadi doktor… saya tak akan tinggalkan pesakit saya yang sedang dalam pembedahan,” tegasnya.

Kata-kata itu memberi kata dua kepada pembangkang bahawa apabila dilantik menteri untuk menjaga pengurusan banjir, beliau sekali-kali tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya.

Mohd Rashid kemudian meminta Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mengambil giliran untuk menjawab mengenai sesinya. – MalaysiaGazette