Seramai 39 bekas penagih menerima Sijil Kopentasi Jurulatih Kepulihan dari Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia baru-baru ini.-Foto: Sheikh Mohd Asyrul

BILA masyarakat hilang kepercayaan terhadap penagih dadah dan menyisihkan mereka, kepada siapa golongan ini  boleh berpaling untuk meminta pertolongan dan kembali pulih?

Di sebalik stigma masyarakat kononnya penagih tegar tidak akan sembuh walaupun diberikan bantuan, sebenarnya ramai golongan ini yang berjaya keluar daripada sisi hitam kehidupan mereka.

Ada yang pulih atas usaha sendiri selepas menyedari betapa menyedihkan jalan hidup yang mereka tempohi. Ada yang pulih selepas insaf melihat air mata keluarga yang tumpah kerana mereka. Ada yang pulih selepas dibimbing oleh bekas penagih yang mengetahui betapa sukarnya hidup sebagai seorang penagih dadah.

Berikut adalah kisah bekas penagih yang kini menjadi penyelamat penagih yang lain.

Mereka adalah antara 39 bekas penagih yang menerima Sijil Kopentasi Jurulatih Kepulihan dari Pusat Penyelidikan dalam Penyalahgunaan Dadah Asia (ACREDA) Universiti Sains Islam Malaysia anjuran Malaysian Substance Abuse Council baru-baru ini.

Air mata ibu, kasih saudara ubah Mohamed Shamseer

Tiada apa yang lebih kuat untuk mengubah perilaku seseorang berbanding air mata seorang ibu dan pujukan oleh saudara kandung sendiri.

Mohamed Shamseer Mohd Sawar, 43 yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor mula terjebak dengan dadah ketika berusia 13 tahun selepas mengambil ganja. Dia kemudian mengambil heroin, ice dan ecstasy selama lebih 20 tahun.

Bapanya meninggal dunia ketika dia masih kecil dan ibunya mengetahui dia mengambil dadah.

Mohamed Shamseer Mohd Sawar (Depan)-Foto: Sheikh Mohd Asyrul

“Satu hari emak telah putus asa. Dia tengok saya gian teruk dan sakit. Dia hampiri saya tetapi tidak marah. Dia menangis dan sedih melihat keadaan saya yang sakit. Dia beri saya duit dan cakap, belilah apa yang patut saya beli. Dia tidak tahan melihat saya sakit macam tu.

“Pada masa datang kesedaran. Sampai saya hantukkan kepala ke dinding marahkan diri sebab buat emak begitu. Saya cakap pada diri sendiri, apa yang saya buat adalah salah.

“Hari esoknya saya tengok ada program methadone di hospital. Macam tuhan tunjukan jalan kepada saya. Selama lima tahun saya sertai program tersebut dan berjaya membersihkan diri daripada dadah,” kata Mohamed Shamseer yang masih bujang.

Selama dia sihat, Mohamed Shamseer sempat membantu ibunya menguruskan perniagaan dan menjaga nenek berusia 99 tahun yang sudah nyanyuk.

Mohamed Shamseer bersyukur emaknya dapat melihat perubahan dirinya sebelum dia meninggal dunia. Bagaimanapun kematian ibunya memberikan kesan emosi yang sangat mendalam.

Selama ini ibunya menjadi kekuatan untuk dia bangun semula. Walaupun dia menyibukan diri dengan bekerja namun tidak mampu untuk menghilangkan rasa sedih dan tekanan hingga menyebabkan dia terjebak semua.

Bagaimanapun dia bernasib baik, adik lelakinya yang dua tahun lebih muda menjadi penyelamat dirinya buat kali kedua.

Adiknya memberitahu, dirinya adalah  satu-satunya bapa saudara kepada anaknya. Dia mahu saya menjadi kebanggaan anaknya.

Adik dan isteri adiknya memberi kepercayaan penuh kepadanya termasuk menjaga anak mereka apabila mereka mempunyai urusan di luar.  Ketika itu dia masih menagih dadah.

“Bagaimanapun satu hari dia tanya saya sehingga bila ingin hidup sebagai penagih dadah sedangkan anaknya semakin besar.

“Dia kata dia tidak kisah lagi anaknya membesar tanpa pak cik. Kerana kalau anaknya sudah besar dan tahu apa itu dadah dan tengok pak cik dia begitu, dia tak tahu apa yang akan berlaku secara mental terhadap anaknya. Dia meminta saya pergi dan tak akan menghubungi saya.

“Waktu itu saya seperti rasa dipukul. Walaupun dia tidak tahu bagaimana mahu memberi nasihat tapi itu sahajalah satu-satunya cara untuk dia menyedarkan saya,” kata Mohamed Shamseer.

Kini Mohamed Shamseer merupakan pengurus di Rumah Sahabat Hulu Langat yang menjadi tempat rawatan untuk golongan penagih. Pusat itu yang dibuka pada 1997 berjaya memulihkan kira-kira 50 orang setahun.

Penat tidur di kaki lima, makan sisa dari tong sampah ubah Siti Marlarita

Tidur di kaki lima dan mencari sisa makanan di dalam tong sampah di ibu negara menjadi cara hidup Kak Eyta, 41 selama bertahun-tahun akibat menagih dadah.

Ibu kepada dua orang anak lelaki berusia 22 dan 15 tahun itu mula menagih dadah ketika dia berusia sama seperti umur anak bongsunya selepas terpengaruh dengan kawan-kawan.

Pada masa itu kedua ibu bapanya sudah pun meninggal dunia.

Kak Eyta bersama suami.-Foto: Sheikh Mohd Asyrul

“Dadah pertama heroin, orang Kelantan panggil Pok Teh. Mula kenal dadah sudah kenal jarum suntikan sekali. Walaupun pakai jarum suntikan, kakak bukan penagih tegar waktu tu. Kalau ada ada, kalau tak ada tak apa. Macam itu. Masa itu suka-suka sebab pengaruh kawan.

“Bila masuk tahun 1998, 1999 masa berada di Johor, kakak sudah mula jadi penagih tegar. Akak ambil semua barang yang memabukkan, mengambil semua bahan yang menghayalkan. Semua akak cuba.,” kata kordinator program Persatuan Insaf Murni Murni itu.

Wanita itu bagaimanapun mengambil keputusan untuk berhenti daripada mengambil dadah ketika berada di dalam penjara pada 2010.

Menurutnya, ketika dihukum dia mendapat sakit yang teruk dan keinsafan mengetuk pintu hatinya.

“Mungkin sebab kakak sudah penat tidur di kaki lima, penat cari makanan dalam tong sampah, satu lagi kekuatan anak akak yang bongsu kecil lagi.

“Masa itu kakak sakit teruk, kakak rasa rasa macam nak mati, kakak rasa macam tak sempat nak jaga anak sampai besar.

“Kakak berjanji dengan diri, kalau aku bebas daripada penjara kali ini dan sempat jaga anak aku, aku nak berhenti hisap dadah, aku nak jaga anak aku, aku nak sekolahkan anak aku,” kata Kak Eyta.

Dia menunaikan janjinya, selepas keluar dari penjara dia terus berubah.  Dia berjaya membantu sekurang-kurangnya 30 wanita lain untuk pulih sepenuhnya seperti dirinya.

Melalui Kabin Harapan, dia kini bergerak aktif dengan dua pekerjanya membantu penagih lain di sekitar ibu negara.

Ibu bapa cikgu tapi anak penagih

Mempunyai ibu bapa sebagai guru tidak menjamin seseorang itu terjebak dalam penagihan dadah. Begitulah takdir yang dilalui oleh Abdullah, 33, yang meminta supaya nama sebenarnya dirahsiakan demi menjaga maruah kedua ibu bapanya.

Walaupun dibesarkan dalam keluarga yang amat berdisiplin, anak sulung daripada lima beradik dan bakal berkahwin pada 1 Februari ini mula berjinak dengan dadah ketika di darjah enam.

Abdullah ketika menerima sijil-Foto: Sheikh Mohd Asyrul

“Saya banyak menyalahkan keluarga kenapa jadi begini. Mereka meletakkan harapan terlalu tinggi kepada saya sehingga mendatangkan tekanan perasaan.

“Sebagai emak ayah, mereka mahu anak dia berjaya. Saya tidak boleh terima dengan harapan tinggi yang diletakkan oleh mereka.

“Setiap individu mempunyai kekuatan dan kelebihan yang berlainan. Saya ini tidak minat pada buku, mereka suruh saya baca buku,” kata Abdullah yang dilahirkan di Sabah dan kemudian dibesarkan di Tanah Merah, Kelantan.

Menurutnya, pil kuda diberikan oleh seorang rakan yang lebih dewasa daripada dirinya. Selepas kali pertama mencuba dia terus terjebak hingga menjadi penagih kronik.

Menurut Abdullah dia pernah mengancam ibunya untuk mendapatkan duit bagi membeli barang terlarang sehingga ibunya menjadi takut kepada dirinya.

Malah ibunya sentiasa mencari alasan untuk berada di  luar rumah kerana bimbang dengan tindakan yang akan diambil oleh Abdullah jika bersama dengannya di rumah.

Ibu bapanya kemudian membuat helah dan berjaya memasukkan dirinya ke Rumah Pengasih untuk menjalani rawatan pemulihan.

Namun tindakan yang bersifat paksaan itu tidak mendatangkan kesan ke atas dirinya dan dia kembali menagih selepas keluar.

Hanya selepas dia sedar betapa rugi hidupnya yang bergantung dengan dadah, dia meminta supaya ibu bapanya menghantar dia kembali ke Rumah Pengasih padda 2015.

“Saya berhenti sebab saya sudah penat. Kerosakan yang berlaku dalam hidup saya terlalu banyak. Saya lahir dalam keluarga yang senang, semua yang saya hendak boleh dapat tapi bila terlibat dalam dadah ini satu-satu hilang dalam hidup saya.

“Pertama, saya hilang kepercayaan keluarga. Bila keluarga nak buat apa-apa saya disisihkan. Rasa terkilan. Kawan-kawan sekolah semua sudah hilang buat hal masing-masing. Saya masuk lokap banyak kali,” kata Abdullah.

Abdullah yang kini salah sorang pakar membimbing penagih di Pengasih berkata, untuk berhenti mengambil dadah memerlukan ilmu.

Katanya, bukan senang untuk pulih dan mengambil masa yang lama untuk menjadi manusia yang baik. Namun kerana tekadnya untuk membantu Abdullah berjaya membimbing berpuluh orang termasuk dalam kalangan professional seperti guru.

Ini adalah bahagian pertama daripada dua bahagian mengenai wira-wira tidak didendang yang pernah terjebak dalam penagihan dadah dan kemudian memutuskan untuk membantu penagih yang lain untuk kembali pulih.- MalaysiaGazette