Kamarul Zaman Mamat

JOHOR BAHRU – Seramai 11 individu telah dipanggil untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual melibatkan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sedili, Rasman Ithnain terhadap seorang wanita baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, perkara itu masih dalam siasatan dan akan dilengkapkan pada minggu ini.

“Masih dalam siasatan seperti mana yang saya maklumkan ianya akan selesai dalam minggu ini kerana ada beberapa perkara yang perlu kita perkemaskan.

“Kita juga telah berbincang dengan pihak perundangan Polis Diraja Malaysia untuk memperkemaskan siasatan itu. Sudah 11 orang diambil keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan mengenai kes cabul yang didakwa dilakukan wakil rakyat berkenaan terhadap Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Kota Tinggi.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita dipercayai ahli parti sebuah politik mendakwa dicabul sebanyak empat kali oleh seorang ADUN terbabit.

Mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri ADUN berkenaan.

Wanita itu mendakwa kejadian pertama berlaku pada 2 Januari lalu namun bertindak mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini.

Kejadian kedua dan ketiga pula berlaku pada 3 Januari serta 12 Januari namun mangsa mendakwa masih tidak berani untuk menceritakannya.

Kejadian terakhir berlaku pada 13 Januari sebelum mangsa nekad membuat laporan polis selepas didakwa diraba di bahagian sulit.

Sementara itu, Rasman pula menyifatkan perkara itu adalah sebagai serangan politik kepada dirinya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast