Peguam Muda Amanah, Ahmad Fadhli Umar Aminolhuda bercakap pada sidang media berkenaan Menuju Demonstrasi Aman #TangkapAzamBaki di Wisma Amanah Nasional, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 18 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Parti Amanah Negara (PAN) berkata, perhimpunan aman #TangkapAzamBaki yang dijadualkan esok akan berjalan dengan aman adalah yang dijamin di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Muda PAN, Fadhli Umar Aminolhuda berkata, lebih kurang 20 peguam akan menjadi pemerhati bagi memastikan kedaulatan undang-undang dan keluhuran Perlembagaan.

Beliau berkata demikian susulan sidang media Ketua Polis Dang Wangi petang tadi.

Dalam sidang media itu, polis menasihatkan orang ramai untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) yang sedang berkuatkuasa, demi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta kesihatan umum.

Asisten Komisioner, Noor Dellhan Yahaya berkata, perhimpunan itu tidak mendapat kebenaran daripada polis dan mahkamah juga telah mengeluarkan perintah untuk menghalang mana-mana pihak bagi mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid
Jamek.

Sehubungan itu, polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang dikesan masih berdegil menganjurkan atau menyertai
sebarang perhimpunan, dan akan mengambil tindakan tegas di dalam perkara ini. – MalaysiaGazette