Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii
Razlan Rafii

KUALA LUMPUR – UMNO menyambut baik keputusan kerajaan untuk memberi pilihan kepada pengguna sama ada mahu menggunakan sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) atau sistem sedia ada.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, sikap prihatin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat keputusan dengan pantas ternyata melegakan rakyat.

Ujar beliau, rakyat tidak boleh dibebankan dengan kaedah pihak swasta yang mahu memaksa pengguna berpindah kepada RFID dengan keuntungan melampau.

“Tindakan PLUS dan Touch n Go (TnG) mahu menghapuskan Smart TAG dan mengantikan dengan RFID telah menimbulkan banyak syak wasangka.

“Kempen dua tahun dijadikan alasan untuk TnG mengenakan caj RM35 bagi setiap RFID agak melampau.

“Sepatutnya apabila jumlah pengguna lebuh raya PLUS diaktifkan, ada banyak cara boleh diteruskan pemberian percuma RFID dan boleh sahaja buat kempen berketerusan di plaza tol untuk kesedaran pengguna terhadap penggunaan RFID,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini, Ismail Sabri dalam kenyataannya dilaporkan berkata, pengguna perlu diberikan pilihan sama ada mereka mahu menggunakan sistem RFID atau tidak.

Menurutnya, mesyuarat Kabinet pada Rabu minggu lalu membincangkan isu tersebut dan sepakat dengan ketetapan agar rakyat mesti diberikan pilihan.

Mengambil contoh perkhidmatan TnG yang diperkenalkan sebelum ini, beliau berkata, ia tidak dilaksanakan secara terus, namun berbentuk pilihan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan mencadangkan, TnG memberi percuma stiker RFID dan berterusan menjalankan kempen di Plaza Tol PLUS.

Kata beliau, pihak berkenaan seharusnya mendapatkan data secukupnya berhubung statistik penggunaan di plaza tol dan jika Smart TAG berbaki 10 peratus baru ia boleh dicadangkan untuk melupuskan penggunaannya.

“TnG adalah syarikat yang diberi hak untuk menjalankan perniagaan perkhidmatan pembayaran dan boleh dikatakan secara monopoli. Tidak ada sebab untuk pengguna menangung kos seperti membayar stiker RFID sebanyak RM35.

“Kita bersyukur kerana kerajaan cukup prihatin dengan masalah ini. Dasar Perdana Menteri kita yang mementingkan Keluarga Malaysia dan tidak berpihak kepada kapitalis yang melampau telah membuktikan rakyat terus dibela.

“Keputusan untuk meneruskan Smart TAG dan memberi pilihan kepada rakyat yang diarahkan oleh Perdana Menteri telah meredakan keadaan ini,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

RFID: Pengguna perlu diberi pilihan bayar tol – PM

1 Komen

  1. SETUJU…..guna T ngo DN SMART TAG SELAMA ini pun dah okay….berbanding DUIT TUNAI sebelum ini….buka sahaja lorong2 berkenaan dan 3 pilihan ditangan rakyat

Comments are closed.