Khalid Abd. Samad

KLANG – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad bersetuju menunaikan tuntutan isterinya  Dr. Zaiton Abu Bakar selepas mengenai pasti harta sepencarian mereka sejak 45 tahun mendirikan rumah tangga.

Beliau berkata, prosedur ini penting bagi mengelakkan berlaku tuntutan daripada isteri baharu kelak.

“Isu ini pasal tuntutan harta sepencarian, dekat Selangor yang beri izin kahwin ialah mahkamah tapi sebaik-baiknya isteri dan kita selesaikan harta sepencarian kerana saya dah berumahtangga dengan Dr Zaiton Abu Bakar 45 tahun. Kita dah kumpul harta bersama.

“Jadi harta sepencarian ini kita kenal pasti dan asingkan supaya yang datang pihak baharu nanti (isteri kedua) dia tak tuntut harta milik isteri pertama. Katakan saya meningggal dunia tiba-tiba, rumah kami isteri kedua pun tuntut juga sebagai sebahagian hartanya,” katanya ketika ditemui di Majlis Pelancaran Jelajah Dasyat, pada hari ini.

Beliau berkata demikian membidas dakwaan Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Mokhtar Radin baru-baru ini bahawa persetujuan memberikan  sebuah rumah banglo, penthouse dan sebuah kereta, selain tambahan elaun dalam bentuk kad kredit sebagai sogokan supaya isteri membenarkannya berkahwin lagi.

Jelas Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), kebenaran berkenaan diberikan oleh mahkamah syariah untuk menyelesaikan isu harta sepencarian.

Ketika ditanya wartawan siapakah wanita tersebut, Khalid enggan mendedahkan identiti bakal isteri keduanya.

“Orang biasa sahaja.  very low profile,” katanya sambil tersenyum. – MalaysiaGazette