Kamarul Zaman ketika Op Khas yang dilakukan polis Johor dalam membanteras penagih dadah di Pandan, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Polis akan memperhebatkan lagi operasi menghapuskan kira-kira 12 kawasan panas sarang penagih dan pengedar dadah yang dikenal pasti di Johor.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, ia antara sasaran utama untuk membersihkan bilangan penagih dan pengedar dadah daripada perbuatan tidak bermoral itu.

“Tujuan utama adalah untuk menahan mereka dan jika sekiranya jika mereka didapati bersalah, kita akan kerjasama dengan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) untuk merawat mereka.

“Jika lihat banyak tetapi 12 kawasan panas ini menjadi kawasan hot spot di Johor ini. Itu sebab operasi kita lancarkan di sini jika lihat terlalu banyak tetapi hot spot yang perlu diberi perhatian ialah 12 kawasan.

“Dia bergerak satu tempat ke tempat lain, bila buat operasi dia berpindah ke kawasan lain tetapi di Kampung Pandan ini saya rasa hingga sekarang masih menjadi tempat tumpuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Op Tapis Khas Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (JSJN) Johor di Kampung Pandan dekat sini hari ini.

Kamarul Zaman memberitahu, Kampung Pandan antara hot spot yang dijadikan port penagih dan pengedar yang akan diberi tumpuan pihaknya.

“Kita dapati bahawa mereka ini ada daripada warga asing mengambil dadah di kawasan Kampung Pandan,” katanya.

Dalam operasi yang sama, seramai 220 individu yang terlibat dengan pelbagai kesalahan dadah ditahan termasuk tiga daripadanya merupakan warga asing.

Operasi pukul 3 pagi tadi melibatkan 38 pegawai dan 282 anggota dan kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 41 tahun.- MalaysiaGazette