Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KUALA LUMPUR – Seorang suspek yang terlibat dengan kes bunuh di Klang telah dituduh di Mahkamah Majistret hari ini, manakala dua lagi suspek masih bebas.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, suspek itu didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

”Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Kertas Siasatan telah dirujuk kepada Pegawai Pendakwaan Negeri Selangor dan arahan tuduh telah diberikan terhadap seorang yang disyaki (OYDS) bersama-sama dua orang suspek lagi yang masih bebas.

”Manakala dua OYDS diikat dengan Jaminan Bon Mahkamah mengikut peruntukan Seksyen 49 Kanun Tatacara Jenayah. OYDS telah dituduh pada 21/1/2022 di Mahkamah Majistret Klang, Selangor. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori,” katanya dalam kenyataan di sini.

Hoong Fong berkata, polis sedang giat mengesan dua lagi suspek yang masih bebas iaitu Chin Siau Lan dan Ng Chin Way.

Terdahulu pada 9 Januari lalu, Balai Polis Klang menerima panggilan telefon daripada Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam yang memaklumkan dua lelaki telah mengadu terdapat kes bunuh berlaku di kawasan Klang.

Lelaki tersebut mendakwa mangsa telah dibunuh oleh majikannya sendiri.

“Bertindak atas maklumat, IPD Klang Selatan telah membuat tangkapan ke atas tiga orang lelaki di kawasan Lengkok Pandamaran Jaya 99, Pelabuhan Klang, Selangor.

“Hasil soal siasat yang dijalankan mendapati mangsa telah dipukul oleh majikannya bernama Amy dan teman lelakinya yang dikenali sebagai Kekau,” tambahnya. – MalaysiaGazette