Menteri Besar Johor
Datuk Hasni Mohammad

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad dijangka mengadakan sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan UMNO Negeri petang esok.

“Ya esok ada mesyuarat Perhubungan UMNO negeri,” kata Hasni kepada MalaysiaGazette namun enggan mengulas lanjut.

Desas-desus sidang media itu berkaitan dengan usul pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan.

Johor mempunyai 56 kerusi DUN yang terdiri daripada UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebanyak 11 kerusi, PKR (7), Amanah (6) MIC (2) dan Pas (1).

Berikutan kedudukan yang genting iaitu kerajaan memerintah memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, PRN dilihat perlu diadakan  supaya kerajaan yang dipilih kelak dapat memberi tumpuan kepada program pembangunan negeri terutamanya sektor ekonomi.

Ini kerana kerajaan yang stabil dilihat boleh melaksanakan pelbagai perancangan tanpa diganggu-gugat dengan ‘kekacauan’ politik.

Sementara itu, menurut sumber kepada MalaysiaGazette Hasni dijangka mengadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mempersembahkan usul pembubaran DUN pada Ahad nanti.

Keputusan sama ada PRN boleh diadakan atau tidak tertakluk kepada perkenan Sultan Johor dan beberapa prosedur perlu dipatuhi sebelum DUN dapat dibubarkan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tahun 2004, PAS menang 24 kerusi DUN Kelantan. Setahun selepasnya, seorang ADUN mereka meninggal dunia dan berlakulah PRK Pengkalan Pasir. PAS tewas menyebabkan kedudukan DUN berada pada angka 23-22.

    Tetapi kerajaan itu kekal bertahan sehingga ke PRU 2008. Kerajaan ini digelar ‘Kerajaan Dua Undi’ kerana salah satu DUN yang dimenangi mereka ketika itu (DUN Kemuning) hanya mendapat majoriti 2 undi…..SEJARAH TIDAK MENIPU

Comments are closed.