Abang Viva antara 10 orang awam yang menerima sijil penghargaan sempena Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tahun 2022 di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Abang Viva antara 10 orang awam yang menerima sijil penghargaan sempena Perbarisan Tahunan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tahun 2022 di sini hari ini.

Azwan Omar menerima sijil penghargaan atas jasanya membantu mangsa banjir di Shah Alam pada Disember tahun lalu  dengan hanya berbekalkan RM50 dengan bot yang dibawa di atas keretanya.

Antara yang telah diselamatkannya adalah pasangan warga emas, ibu bersama bayi yang baru dilahirkan dan ramai lagi.

Semasa berada di Shah Alam bagi membantu mangsa banjr, Abang Viva hanya mengalas perutnya dengan roti dan air kosong sahaja.

Kisah beliau menjadi tular di media sosial dan mendapat perhatian media pada tahun lalu kerana sanggup membantu mangsa banjir mengikut kemampuannya.

Sijil penghargaan diserahkan oleh Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Turut menerima sijil penghargaan pada hari ini adalah 15 pengamal media cetak dan elektronik daripada pelbagai agensi termasuk MalaysiaGazette.

Wartawan MalaysiaGazette, Shawalian Hadir (tiga dari kiri) antara 15 wakil media menerima surat penghargaan daripada JBPM di Putrrajaya hari ini.

Lima Pasukan Bomba Sukarela (PBS) daripada PBS Jalan Besar Telemong,  Janda Baik, Sri Serdang, Kepong Kuala Lumpur dan Nanding turut diberi sijil penghargaan atas pengorbanan dalam operasi menyelamat mangsa banjir di lokaliti masing-masing pada Disember yang lalu.

Sementara itu, pada majlis yang sama Skuad Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah dilancarkan.

Skuad ini ditubuhkan bagi menyantuni pegawai dan kakitangan yang ditimpa musibah semasa musim Monsun Timur Laut.

Skuad Kebajikan Bomba ini juga giat melaksanakan aktiviti-aktiviti pasca banjir.

Selain itu, Dasar Latihan Kebombaan dan Penyelamatan (DLKP) yang berkuatkuasa pada tahun ini turut dilancarkan bagi menggantikan Dasar Latihan Sumber Manusia 2007 untuk pengemaskinian, penambahbaikan dan pindaan kepada Sembilan teras Dasar Latihan Sumber Manusia sebelum ini.

Sebagai rekod, Perbarisan Tahunan JBPM tanun ini melibatkan dua orang pegawai dan 51 orang anggota lain-lain pangkat yang diketuai Penguasa Kanan Bomba II Mohammad Firdaus Khan Anuwat Khan.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast