Ir. Izham Hashim

SHAH ALAM – Kerajaan negeri mengambil masa kira-kira satu bulan untuk kerja membaik pulih struktur jalan dan tebing sungai yang rosak akibat banjir di  Hulu Langat.

Perkara itu dinyatakan Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pertanian, Perladangan dan Industri Asas Tani Selangor,  Ir. Izham Hashim.

Beliau berkata, daripada penilaian dijalankan, sebanyak 91 lokasi tanah runtuh dikenal pasti di seluruh negeri dengan 62 daripadanya serius dan perlu dibaik pulih segera.

“Kerja baik pulih jalan dan tebing sungai sekitar Hulu Langat ini akan siap sepenuhnya dalam jangka masa sebulan lagi.

“Kerajaan negeri akan berterusan membantu rakyat yang terkesan dengan bencana ini,” katanya sebagaimana laporan Selangorkini.

Menurut beliau, kerajaan negeri juga menampung kira-kira RM500 juta bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur susulan banjir teruk, yang dibuat secara berfasa.

“Pada 7 Januari lalu, kerajaan negeri meluluskan peruntukan segera RM40.88 juta bagi melaksanakan projek pembersihan dan pemulihan infrastruktur yang terjejas akibat banjir.

“Projek ini dikelolakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya selepas meninjau kerja pembaikan cerun dan tanah runtuh di Genting Peras, Hulu Langat. – MalaysiaGazette