Ahmad Zahid Hamidi Mahathir Mohamad lies drop court case corruption
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Hanya enam sahaja daripada 190 bahagian UMNO di seluruh negara yang mengemukakan usul supaya diadakan pemilihan parti dahulu sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, jumlah itu adalah angka rasmi yang dikeluarkan oleh ibupejabat parti selepas mendapat penilaian dan penelitian daripada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) dan jawatankuasa khas usul.

“Saya tidak tahu individu itu memperolehi angka 96 bahagian dari mana? Dalam statistik yang saya peroleh melalui usul yang kita terima, tidak ada satu ruang pun dalam pelbagai kategori usul itu menyebutkan angka 96 itu sebagai angka yang diterima dari usul-usul bahagian.

“Saya fikir mungkin angka itu dikutip dari kayangan,” katanya dalam forum Jawab, Saya Tanya: Eksklusif Bersama Presiden UMNO menerusi siaran NRChannel malam tadi.

Menurut Ahmad Zahid, berikutan keputusan itu, sudah tentu parti harus rasional untuk menjaga kepentingan akar umbi berbanding kelompok kecil yang pemikirannya terlalu jumud.

Beliau turut menjelaskan, zaman pemimpin tahu semua dan betul semua sudah berlalu.

Katanya, jika ada pemimpin politik bersifat begitu, tunggulah masanya akan ditenggelamkan oleh akar umbi.

“Saya tidak merujuk kepada sesiapa tetapi ini adalah lumrah dalam parti politik yang wujud ketika ini,” katanya.

Dalam temubual itu juga beliau membayangkan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) akan diadakan dua kali tahun ini jika menuruti surat daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) kepada ibupejabat parti itu.

“Ya, mungkin. PAU 2021 telah ditetapkan pada 16 hingga 19 Mac ini, maka untuk 2022, ianya ada satu lagi PAU.

“Kalau merujuk surat daripada RoS kepada ibupejabat UMNO yang menyebutkan pemilihan parti mesti diadakan pada atau sebelum 29 Disember 2022. Ertinya berdasarkan arahan itu, maka PAU 2022 mesti adakan.

“Namun, jika ada sesuatu usul baharu, maka apa yang menjadi tugas atau fungsi utama RoS adalah jelas melalui Akta 1966 yang menyebutkan, bahawa tugas RoS adalah untuk menjaga kepentingan ahli mana-mana pertubuhan yang berdaftar dengan jabatan itu berlandaskan kepada perlembagaan pertubuhan yang berdaftar itu,” katanya.

Dalam konteks itu, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu, UMNO adalah pertubuhan politik yang berdaftar.

“Maka, apa yang saya ingin sebutkan ialah peranan RoS di mana saya pernah turut menjaga RoS ketika saya berada dalam kerajaan dahulu.

“Saya amat faham tugas RoS adalah untuk tidak memihak sama ada kepada kerajaan atau mana-mana pihak di dalam atau luar parti yang mahu menterjemahkan agendanya sendiri.

“Sebab itu tugas RoS, saya yakin masih terus mantap untuk menjaga kepentingan ahli dalam pertubuhan terutamanya dalam pertubuhan politik,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast