Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain perseorangan lelaki utama negara, Lee Zii Jia diminta mencari jalan penyelesaian dalam isu berpalit antara kedua-dua pihak itu.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata masa depan pemain berusia 23 tahun itu serta kedudukan Malaysia di pentas badminton antarabangsa tidak seharusnya dipertaruhkan.

“Jika kepentingan negara diutamakan, sudah tentu ada jalan penyelesaiannya. Pada hemat saya, isu di antara BAM dan Zii Jia bukanlah perkara yang rakyat dan para pendokong serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini.

“BAM dan Lee Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini. Saya akan bertemu dengan kedua-dua belah pihak dalam masa terdekat,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Terdahulu, Timbalan Presiden BAM Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunood mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia, pemain ranking ketujuh dunia, untuk mana-mana kejohanan antarabangsa bagi tempoh dua tahun bermula 18 Jan ini.

Ia berikutan keputusan juara All England itu yang menghantar surat untuk keluar daripada BAM pada 11 Jan lepas agar beliau dapat bergerak sebagai pemain profesional, dengan alasan tidak dapat menahan tekanan di BAM. – BERNAMA

ARTIKEL BERKAITAN:

BAM gantung Zii Jia, Jin Wei, dua tahun

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast