Azalina dan Shahrir Samad yang telah tiba bagi menghadiri mesyuarat Ketua-Ketua Bahagian UMNO Johor di Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Ketua-ketua bahagian UMNO Johor mula tiba di Bangunan Perhubungan UMNO Johor di sini untuk mengadakan mesyuarat yang dipercayai berkaitan pengumuman Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad merupakan individu pertama yang dilihat tiba.

Turut kelihatan Naib Presiden UMNO yang juga Ketua Bahagian UMNO Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Turut tiba Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Mesyuarat yang akan dihadiri oleh 26 ketua bahagian UMNO dijadual bermula pada pukul 2 petang ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohamad yang juga Menteri Besar Johor dijadual membuat sidang akhbar khas sebaik mesyuarat selesai.

Sebelum ini, terdapat khabar angin bertiup kencang mengenai pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Banyak pihak mengaitkan mesyuarat yang diadakan hari ini dan sidang media khas nanti dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).

Politik di Johor tidak stabil berikutan dengan Kerajaan Negeri yang memimpin hanya memiliki majoriti satu kerusi Dewan Undangan Negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri di negeri itu berjumlah 28 dan pembangkang pula sebanyak 27 kerusi.

Menambahkan ketidakstabilan, terdapat dua parti domiman dalam kerajaan iaitu Barisan Nasional dengan 16 ADUN dan Perikatan Nasional dengan 12 ADUN.

Johor mempunyai 55 DUN.-MalaysiaGazette.