Anggota polis membuat sekatan dan melencongkan beberapa jalan utama di ibu negara susulan penganjuran perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki supaya ditangkap yang dijadual berlangsung hari ini. Foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Keadaan di sekitar Transit Aliran Ringan (LRT) Bangsar pagi ini yang dikatakan menjadi lokasi himpunan haram didapati lengang.

Setakat jam 10 pagi tadi, tiada sebarang pergerakan peserta perhimpunan dilihat berada sekitar LRT berkenaan selepas tindakan penguatkuasaan polis yang ketat menjaga laluan masuk.

Bagaimanapun, keadaan jalan di Jalan Bangsar sesak teruk akibat polis melencongkan laluan ke Jalan Ma’arof dan tidak membenarkan sebarang kenderaan daripada memasuki jalan ke LRT Bangsar.

Anggota polis membuat sekatan dan melencongkan beberapa jalan utama di ibu negara susulan penganjuran perhimpunan mendesak Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki supaya ditangkap yang dijadual berlangsung hari ini. Foto AFFAN FAUZI, 22 JANUARI 2022.

Antara jalan yang sesak setakat jam 10 pagi tadi termasuklah Jalan Maarof, Jalan Pantai Baharu serta susur keluar Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) menuju ke Jalan Bangsar berikutan lencongan laluan berkenaan.

Setakat ini, LRT Bangsar hanya dibanjiri pengamal media seawal jam 8 pagi tadi.

Himpunan dirancang hari ini bagi mendesak agar proses undang-undang ke atas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam  Baki serta menggesa rombakan SPRM dibuat seterusnya diletakkan di bawah Parlimen. – MalaysiaGazette