Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO pelbagai peringkat di negeri ini bersiap siaga untuk menghadapi kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan kelak.

Katanya, persediaan cukup penting proses penyelasan gerakan parti dalam dilaksanakan  sebaik mungkin.

“Di peringkat Pusat kita bersedia menghadapi sebarang kemungkinan seperti apa yang berlaku di Melaka.

“Apa berlaku di Melaka setakat ini itu yang akan dilakukan di Johor dan BN akan bertanding jika PRN berlaku sudah pasti. Bagaimana kaedah kita akan bincangkan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Perhubungan UMNO negeri di bangunan UMNO Johor Bahru di sini hari ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut ditanya mengenai pengundi  baharu  melibatkan dua kumpulan iaitu 18 hingga 20 tahun dan 21 tahun keatas yang dilihat sebagai cabaran untuk semua parti yang ada.

“Di dalam politik perkara itu adalah satu perkara yang perlu kami hadapi, dia bukan sahaja mencabar kepada UMNO tetapi mencabar kepada parti-parti lain.

“Tidak semestinya apabila kita menyebut anak muda dia akan menyokong pembangkang, tidak semestinya dan pihak pembangkang juga tidak boleh bercakap pengundi muda ini menyokong mereka.

“Saya percaya semua parti melihat pengundi baharu ini sebagai cabaran buat mereka dan pengundi pertama yang boleh mengundi itu satu cabaran besar yang perlu dihadapi semua,” katanya.

Terdahulu Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad ketika bercakap kepada media berkata, semua ketua UMNO Bahagian bersetuju dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor.

Hasni berkata, beliau akan menghadap Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pukul 5 petang di Istana Bukit Serene untuk mendapat perkenan. – MalaysiaGazette