Gambar UAE telah diserang dengan dron dari Yaman menyebabkan kematian.- Foto-Getty Images.

ARAB SAUDI – Serangan udara Arab Saudi terhadap pemberontak Houthi di Yaman didakwa telah mengorbankan banyak nyawa.

Satu serangan sahaja didakwa telah membunuh berpuluh-puluh orang apabila pusat tahanan di kubu kuat Houthi di Saada menjadi sasaran.

Dalam pada itu, serangan tersebut dipercayai tindak balas terhadap serangan peluru berpandu dan dron yang berlaku pada hari Isnin lalu oleh Houthi ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE).

UAE merupakan sekutu Arab Saudi dan anggota pakatan pimpinan Arab Saudi yang memerangi Houthi.

Walaupun Houthi mengatakan mereka telah menyerang UAE sebelum ini namun ini kali pertama pihak berkuasa UAE mengakui serangan itu telah menyebabkan kematian.

Difahamkan UAE menarik balik tenteranya di Yaman pada 2019 namun dikatakan terus melatih militia tempatan bagi menentang Houthi.

Senario itu dilihat sebagai bukan sahaja perjuangan untuk mengawal di Yaman tetapi sebagai sebahagian daripada perang proksi yang lebih luas di rantau ini.- Agensi