Datuk Ahmad Yakob

KOTA BHARU – Pas Kelantan menghormati keputusan UMNO negeri untuk memutuskan hubungan antara kedua-dua parti politik itu berkuat kuasa semalam.

Pesuruhjaya Pas Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan keputusan itu dilakukan oleh pihak kepimpinan dalaman UMNO sendiri.

“Kita secara mesra memahami hasrat UMNO untuk memutuskan hubungan politik ini kerana ia (UMNO) tidak boleh terima Bersatu. Tetapi, pendirian kita masih mahu bersama dan memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) bagi memperkasakan Perikatan Nasional (PN).

“Malah, Islam juga turut mementingkan perpaduan jadi kita berhasrat untuk terus bersama UMNO sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan sambutan dua dekad penubuhan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) di sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dilaporkan berkata, UMNO negeri membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Pas negeri.

Keputusan itu dibuat selepas pertemuan antara Biro Politik UMNO Kelantan dengan Dewan Harian Pas Kelantan gagal mencari kata putus berhubung kerjasama kedua-dua parti dalam MN.

Mengulas lanjut, Ahmad yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, menerusi perbincangan bersama UMNO semalam, Pas meminta hubungan ini tidak diputuskan memandangkan keadaan semasa kedua-dua parti adalah baik.

“Namun, kita tidak dapat berbuat apa-apa memandangkan ia telah diputuskan.

“Kita juga bersedia untuk berjumpa semula dengan UMNO. Malah, kita turut berharap pada masa akan datang tidak ada pertandingan tiga penjuru, hanya dua penjuru demi kepentingan Melayu dan Islam,” katanya. – Bernama