Sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.- Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sebanyak 1.6 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) menjelang perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi.

Pengerusi PLUS Malaysia Berhad, Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif berkata, jumlah itu meningkat 17.4 peratus berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari biasa.

Beliau berkata, pihaknya  telah melakukan persediaan dalam menerima pertambahan kenderaan di lebuh raya dan di kawasan-kawasan pusat Rehat dan Rawat (R&R) seliaan PLUS.

“Berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap trend perjalanan pelanggan pada musim-musim perayaan, kami menjangkakan jumlah kenderaan di lebuh raya akan mula meningkat pada 28 dan 29 Januari serta 2 dan 5 Februari yang akan datang,” katanya ketika berucap di majlis pelancaran Op Selamat 17 Tahun Baru Cina 2022 di Restoran Jejantas Sungai Buloh (Arah Utara) hari ini.

Mohamad Nasir menambah, kadar kemalangan sudah tentu akan selari dengan jumlah aliran trafik yang antaranya berpunca dengan mengekori kenderaan terlalu rapat, memandu dalam keadaan mengantuk, hilang kawalan serta melebihi had laju yang  ditetapkan.

Sehubungan itu, Mohamad Nasir berharap Op Selamat dilancarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini akan mengurangkan risiko kemalangan di jalan raya.

“Perancangan sebelum memulakan perjalanan sangat penting selain sentiasa berwaspada ketika memandu dan memastikan keadaan fizikal dan mental serta kenderaan dalam keadaan baik dan bersedia.

“Perhatian terhadap kesihatan dan pematuhan kepada SOP (Prosedur Operasi Standard) di era pandemik ini juga harus diberikan perhatian,” tambahnya. -MalaysiaGazette