MELAKA – Baru sebulan keluar penjara, seorang lelaki dipercayai tokan dadah diberkas polis dalam satu serbuan di kawasan ladang sawit di Alor Gajah, di sini, Sabtu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, dalam serbuan jam 4 pagi itu, suspek berusia 30-an ditahan di bersama tiga lagi ‘ejen’ pengedarannya berusia awal 20-an.

“Siasatan awal mendapati, suspek mengaku mula mengedar di ladang sawit berkenaan yang dikenali sebagai port Apache sejak sebulan lalu selain turut merekrut tiga ejen lain di bawahnya.

“Suspek juga baharu sahaja dibebaskan dari penjara Disember lalu atas kesalahan dadah di Lembah Klang sebelum mengedar dadah di negeri ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zulkiflee berkata, secara keseluruhannya seramai 73 individu berusia antara 23 hingga 64 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dalam dua serbuan berkenaan di dua ‘port’ dadah di Krubong dan Alor Gajah pada 21 hingga 23 Januari lalu.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Melaka dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah.

“Hasil operasi ini, kita merampas pelbagai jenis dadah iaitu heroin sebanyak 953.03 gram, syabu (73.3 gram) dan ganja 13.6 gram keseluruhannya dianggarkan bernilai RM 41,366.

“Ujian saringan air kencing mendapati kesemua 73 mereka positif dadah,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952. – MalaysiaGazette