Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, 24 JANUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini telah menetapkan 26 April ini bagi prosiding bela diri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi terhadap 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan penggubahan wang dana Yayasan Akal Budi miliknya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan tarikh perbicaraan bela diri berlangsung selama 39 hari bermula 26 April sehingga 10 November.

Antara tarikh-tarikh yang telah ditetapkan oleh Collin ialah 26 hingga 28 April; 23 hingga 26 Mei; 27 hingga 30 Jun; 4 hingga 7 Julai; 22, 23, 29 dan 30 Ogos; 19 hingga 22, 26 hingga 29 September, 17 hingga 20, 31 Oktober.

Kemudian menyambung prosiding pada 1 hingga 3, 7 hingga 10 November 2022.

Tarikh-tarikh tersebut tidak mendapat bantahan dari pihak pendakwaan yang diketuai oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran.

Sebelum ini, Collin pernah menetapkan Mac, April, Mei dan Jun tahun bagi mendengar keterangan saksi-saksi pembelaan.

Terdahulu, Collin ketika membacakan keputusannya berkata, pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie bagi semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid.

Jelas beliau dalam penghakimannya, mahkamah menetapkan keputusan itu selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti dikemukakan pendakwaan.

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah, Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran kad kredit milik persendirian, polisi insurans kenderaan dan lesen motor persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman serta sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Manakala lapan tuduhan rasuah pula, Ahmad Zahid didakwa menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn Bhd sebagai dorongan untuk dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu bagi membantu syarikat berkenaan mendapatkan projek MyEG.

Presiden UMNO itu juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan membabitkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018. – MalaysiaGazette